Sukan Melaka 2024 lebih besar, meriah

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Penganjuran Sukan Melaka akan diteruskan tahun depan dengan perancangan lebih rapi bagi memastikan ia lebih meriah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, melihat kepada kejayaan Sukan Melaka 2023 yang merekodkan anggaran 15,000 pemain dan lebih 30,000 pengunjung, pihaknya percaya kejohanan tahun hadapan lebih menarik dengan sasaran penglibatan peserta dan penonton terus meningkat.

Tambahnya, selain lima acara sukan tetap iaitu bola sepak, futsal, sepak takraw, bola jaring dan bola keranjang, pihaknya juga sedia memperkenalkan acara sukan lain sekiranya menerima cadangan daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Sasaran kita untuk tahun depan ialah 20,000 peserta atau lebih memandangkan urusetia kejohanan iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka bakal membuat persiapan lebih rapi seawal Januari tahun depan.

“Kita jangkakan Sukan Melaka 2024 akan membuka tirai pada Mei dengan perancangan lebih teratur bagi memastikan acara ini terus mencapai objektifnya iaitu untuk menyatupadukan masyarakat menerusi sukan seperti mana yang dihasratkan Ketua Menteri.

“Antara fokus kita ialah pada sukan bola keranjang memandangkan pada tahun ini kita tidak mempunyai pasukan yang cukup, justeru saya berharap edisi berikutnya, setiap DUN dapat menghantar sekurang-kurangnya satu pasukan dalam acara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2023 di Stadium Hang Tuah, di sini, hari ini.

Majlis penutup itu telah dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Pengarah MSN Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Shanmugam turut merakam ucapan penghargaan kepada semua wakil rakyat dan penyelaras 28 DUN kerana memberi kerjasama yang cukup baik dalam menjayakan Sukan Melaka bagi merebut Piala YAB Ketua Menteri.

“Saya percaya dengan penglibatan hampir 50,000 peserta dan penonton sepanjang penganjuran Sukan Melaka ia berjaya menyatukan silaturahim segenap lapisan masyarakat di negeri ini menerusi sukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Didik rakyat Melaka asing sisa pepejal dari rumah
Next post Blok Kenanga kurangkan kesesakan Hospital Melaka
Ubah saiz-+=