Blok Kenanga kurangkan kesesakan Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BUKIT BARU 28 OKTOBER – Pembinaan Blok Kenanga Hospital Melaka yang menelan belanja RM1.9 juta mampu mengurangkan isu kesesakan yang berlaku sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, menggunakan konsep ‘wad modular’, kemudahan baharu itu mampu menempatkan seramai 42 pesakit.”Blok ini adalah pembinaan stuktur separa kekal dan pembinaannya mengambil masa kurang setahun.

“Kos pembinaan Blok Kenangan juga amat rendah dan mengambil masa yang singkat untuk disiapkan.

“Terima kasih kepada pihak Malayan Banking Berhad (Maybank) melalui MERCY Malaysia yang tampil untuk menyumbang dana bagi pembinaan blok ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Reka dan Bina Blok Kenanga Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Nor Fariza Ngah.

Whatsapp Image 2023 10 28 At 6.51.24 Pm
NOR Fariza memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Dr. Mohd Azman Yacob; Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman; wakil MERCY Malaysia dan lain-lain kenamaan.

Menurutnya, blok tersebut merupakan sebahagian daripada Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 MERCY Malaysia dengan dana yang disumbangkan oleh pihak Maybank.

“Projek ini pada awalnya untuk menempatkan pesakit COVID-19 kerana jumlah kes wabak ini di negeri Melaka yang tinggi pada tahun 2020 dan 2021.

“Kini Blok Kenanga yang mempunyai dua wad ini boleh menempatkan pesakit dengan kemudahan yang ada seperti gas perubatan, peralatan perubatan untuk pesakit yang memerlukan ventilasi, dialisis dan isolasi.

“Blok ini juga mementingkan kemudahan, keselesaan pesakit dan kakitangan yang bertugas, reka bentuk fasiliti ini mengambil kira aspek kebolehcapaian serta persekitaran yang mesra pengguna,” katanya.

Tambahnya, menggunakan konsep itu, lebih banyak fasiliti kesihatan dapat dibina di kawasan luar bandar dengan kos yang rendah dan dalam masa singkat.

“Konsep digabungkan dengan kolaborasi ‘public private partnership’ sangat dialu-alukan bagi membawa perubahan konstruktif dalam memberi khidmat kesihatan kepada rakyat.

“Saya harap pembinaan blok ini dapat memberi perkhidmatan perubatan yang selesa dan menggalakkan pemulihan pesakit,” katanya.

Katanya, wad berkenaan turut mempunyai kaunter jururawat, tempat rehat kakitangan, surau dan lain-lain.

“Saya harap Hospital Melaka akan terus memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat dan menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2199
Kongsi :
Previous post Sukan Melaka 2024 lebih besar, meriah
Next post Badrul Muhayat sering bercakap soal kematian – sahabat
Ubah saiz-+=