DMDI, BSN jalin kerjasama bantu Rumah Amal Yayasan DMDI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 1 Sept. – Bank Simpanan Nasional (BSN) bersetuju menjalin kerjasama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pengoperasian Rumah Amal Yayasan DMDI.

Kerjasama itu menerusi hasil perbincangan dan pertemuan dari semasa ke semasa bersama wakil-wakil BSN Melaka dan pusat pengoperasian utama BSN Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengurus Besar Yayasan DMDI Datuk Wira Zainal Hussin berkata, rumah amal itu aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Bukan saja bantuan barangan keperluan (barang dapur), malah bantuan pendidikan, kewangan, perubatan, bantuan katil untuk warga emas dan bantuan lampin pakai buang diberikan kepada golongan yang layak.

“BSN menunjukkan minat untuk bersama kita membantu dengan menyediakan sumbangan kepada golongan sasar ini,” katanya kepada MHI.

Jelasnya, pihak BSN turut menunjukkan komitmen tinggi terhadap Bantuan Kemanusiaan Letusan Gunung Sinabung Kepulauan Sumatera, Indonesia.

“BSN bukan saja berminat, malah bersetuju untuk bersama membantu mangsa-mangsa letusan Gunung Sinabung di Kepulauan Sumatera menerusi Tabung Kemanusiaan DMDI.

“DMDI akan terus menjalin kerjasama dengan institusi korporat demi memastikan kelangsungan kejayaan DMDI di masa akan datang,” katanya lagi.

Tambahnya, DMDI menerusi Yayasan DMDI serta seluruh jenama entiti DMDI akan terus menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan tertua negara iaitu BSN.

“Kita hargai pandangan serta cadangan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Utama (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang mencadangan supaya DMDI menimba pengalaman mengenai pengurusan kewangan professional,” katanya.

Hadir sama Pemangku Presiden DMDI Prof Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Pengarah BSN Negeri Shahrul Anuar Hamid.

Views:

845
Kongsi :
Previous post Bawa mesej merdeka di sempadan tiga buah negeri
Next post Masih setia 50 tahun kayuh beca
Ubah saiz-+=