Bawa mesej merdeka di sempadan tiga buah negeri

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ASAHAN 1 Sept. – Program Merdeka@Komuniti terus menyusur ke segenap pelusuk Negeri Melaka dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-63.

Kali ini, program berkenaan menjelajah pula ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang terletak bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.

Program berkenaan telah diadakan pada Sabtu lalu bertempat di Laman Tiga Budaya, di sini dan turut dimeriahkan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Raub Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Abdul Ghafaar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada usaha yang dilakukan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka dalam menggelorakan semangat cintakan negara bersempena bulan kemerdekaan.

“Saya percaya banyak usaha dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mengedarkan Jalur Gemilang dan pengisian aktiviti kenegaraan. Pada hari ini, kita dapat melihat suasana ceria untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan kepada penduduk kampung.

“Justeru, saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di semua kediaman, premis-premis perniagaan dan juga bangunan pejabat,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Jasin Azreen Ahmad berkata, program di Asahan dianggap sesuatu yang cukup unik memandangkan pihaknya menjayakan Merdeka@Komuniti di lokasi yang terletak di sempadan tiga buah negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Bukan sahaja menjadi titik pertemuan antara tiga negeri malahan kedudukannya di kaki Gunung Ledang menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi dan kehadiran kita disini dapat membantu kerajaan bagi mempromosikan produk pelancongan rimba yang menjadi ikon kepada DUN Asahan,” katanya.

Untuk rekod, Program Merdeka@Komuniti yang merupakan acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk memberi penghayatan erti kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di negeri ini.

Program yang bermula sejak awal bulan Julai sehingga acara kemuncak pada Hari Malaysia 16 September depan akan menjelajah ke seluruh kawasan di Negeri Melaka bagi memupuk rasa cinta kepada Negara dengan pelbagai program sampingan yang telah dan akan dilaksanakan sama ada di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan acara konvoi yang membabitkan seramai 126 peserta motosikal, 30 peserta kenderaan jabatan, badan bukan kerajaan dan swasta dalam Jelajah Aspirasi Merdeka@Komuniti dengan jarak pemanduan sejauh 190 kilometer (km).

Views:

355
Kongsi :
Previous post Pameran Beli Barangan Malaysia sasar lebih 10,000 pengunjung
Next post DMDI, BSN jalin kerjasama bantu Rumah Amal Yayasan DMDI
Ubah saiz-+=