Dua juta benih ikan, udang galah dilepaskan antara 2016 hingga 2021

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER LIMAU 10 Mac – Jabatan Perikanan Melaka sudah melepaskan dua juta anak ikan asli dan udang galah ke beberapa sungai di negeri ini dari 2016 hingga 2021.

Pengarahnya Mohd Fauzi Salehon berkata, aktiviti itu bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan sungai dan memajukan aktiviti memancing untuk rekreasi.

Beliau berkata, antara jenis ikan asli berkenaan ialah lampam, puyu, keli bunga, keli kayu dan baung.

Katanya, spesis ikan yang tidak dilepaskan kerana berbahaya dan mengancam ikan asli ialah baung ekor merah.

Menurutnya, turut tidak dilepaskan ialah tilapia kerana ikan berkenaan memakan dan memusnahkan ikan asli yang sedia ada dalam sungai.

“Jabatan Perikanan melepaskan ikan asli dan udang galah hanya ke dalam sungai yang sudah dijalankan kajian mengenai kesesuaiannya untuk pembesaran, sekali gus meningkatkan sumber perikanan.

“Dengan kaedah itu, kita membantu meningkatkan pendapatan nelayan sungai, selain membolehkan lebih ramai anggota komuniti memancing untuk rekreasi sambil menikmati kelazatan ikan asli,” katanya.

Mohd Fauzi berkata demikian selepas melepaskan 35,000 anak udang galah ke dalam Sungai Siput di Kampung Brisu, Lubok Cina di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Pengarah jabatan itu, Nawar Abdul Karim.

Jelasnya sungai lain di daerah Alor Gajah yang dikenal pasti sebagai habitat pembiakan ikan asli dan udang galah ialah Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi.

“Sungai di daerah Melaka Tengah ialah Sungai Duyong manakala di daerah Jasin ialah Sungai Rambai.

“Tahun ini, kita bercadang melepaskan 500,000 anak ikan asli dan udang galah di seluruh Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Bukit Melaka: Usah kagum warisan tinggalan penjajah
Next post Isu bayaran pampasan waris Sultan Sulu, harga pelitup muka, tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=