Bukit Melaka: Usah kagum warisan tinggalan penjajah

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 4 Mac – Usaha mengembalikan nama Bukit Melaka di St Paul Hill dekat sini, sepatutnya dilakukan lebih awal sebagaimana dilaksanakan negara lain.

Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, usaha itu terhalang disebabkan pemikiran sesetengah pihak yang kuno dan buta sejarah dengan menerima tinggalan sejarah penjajah sebagai warisan.

Menurutnya, penjajah membawa agenda mahu melenyapkan warisan sejarah Kesultanan Melayu Melaka dengan membina gereja St Paul bagi meninggalkan kesan penjajahan mereka.

“Penjajah tukar nama tempat istana dengan nama St Paul Hill, ini dibuktikan pada peta kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan sewaktu Portugis menyerang istana, mereka menggunakan peta yang menyebut Melaka Hill.

“Portugis mahu melenyapkan warisan sejarah Melaka dan setelah negara sudah Merdeka, kita tidak boleh lagi terikut dengan mentaliti penjajah yang berniat mahu menjatuhkan maruah kita.

“Sebagai rakyat yang taat kepada negara, kita seharusnya bersemangat untuk kembalikan nama asal Bukit Melaka gantikan nama St Paul Hill,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha kerajaan negeri dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang mahu mengembalikan nama asal Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Usaha mewartakan nama Bukit Melaka dijangka dilaksanakan dalam tempoh setahun ini.

Abdul Latiff yang juga tokoh sejarah dan kebudayaan negara berkata, setiap rakyat Melaka yang berbilang bangsa seharusnya bersemangat dan menyokong apa jua bentuk usaha yang digerakkan kerajaan negeri bagi mengembalikan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang mashyur satu ketika dulu.

“Bila kita sudah merdeka, kita bawa imej Malaysia bukan mengenang penjajah dan usaha ini sudah lama diamalkan oleh negara lain.

“Misalnya, China yang dulunya dikuasai penjajah British telah mengubah nama Beijing dulu Peking, Myanmar dulu Burma, sebab mereka tahu British meletakkan nama sedemikian demi kepentingan mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut hairan dengan dakwaan individu tertentu yang menuduh usaha kerajaan negeri dan PERZIM mengembalikan nama asal Bukit Melaka akan mengubah sejarah negara.

“Apa yang kerajaan negeri dan PERZIM lakukan ialah semata-mata mahu mempertahankan kedaulatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

“Hakikatnya, lihat sendiri pada tapak sejarah bangunan St Paul Hill, tiada apa dimusnahkan kerana sebagai bangsa yang bertamadun kita masih menjaga tapak tinggalan sejarah walaupun kita sedar penjajah mahu imej mereka terus berada di situ.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, mereka akan musnahkan sama sekali apa sahaja tinggalan sejarah penjajah di negara mereka, ” ujarnya.

Menurutnya, penggunaan nama asal Bukit Melaka adalah wajar bagi menampilkan kejayaan dan kegemilangan Melaka yang telah dicapai pada masa ini.

“Sebab itu kita menggerakan pelbagai usaha untuk mengembalikan sejarah kegemilangan Melayu Melaka ini antaranya membina replika istana bagi memelihara sejarah warisan negara.

“Kalau kita bangsa yang zalim dan seperti mana negara dunia lain, kita musnahkan gereja yang dibina oleh penjajah dan gantikan dengan replika istana zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Namun kita tidak zalim dengan meruntuhkan tinggalan sejarah yang ada dan masih menjaga keharmonian pelbagai bangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2191
Kongsi :
Previous post Agong berkenan kurnia biasiswa kepada 10 pelajar IPT
Next post Dua juta benih ikan, udang galah dilepaskan antara 2016 hingga 2021
Ubah saiz-+=