Isu bayaran pampasan waris Sultan Sulu, harga pelitup muka, tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Isu arahan bayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu seperti diputuskan Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis baru-baru ini merupakan antara perkara akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan berkenaan akan diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci isu tersebut, sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menjadi tumpuan ialah soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, serta isu harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu yang akan diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menerusi sesi soal jawab pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijadual bertanya kepada Perdana Menteri perkembangan terkini siasatan terhadap warganegara Malaysia yang mempunyai akaun luar pesisir seperti yang telah dinamakan bermula dengan laporan Offshore Leaks 2012 sehingga Pandora Papers 2021.

Isu berkaitan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pula akan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menjawab soalan itu hari ini.

Selepas selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post Dua juta benih ikan, udang galah dilepaskan antara 2016 hingga 2021
Next post Aidil Sharin puji persembahan KDA FC selepas tewaskan juara Piala Malaysia
Ubah saiz-+=