Dua maut motosikal bertembung

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

ALOR GAJAH 19 Oktober – Seorang remaja lelaki antara dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Ayer Paabas, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.35 petang itu, remaja berkenaan, Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15 yang menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 dan seorang lagi penunggang Yamaha Lagenda, Shahrul Effendi Sabtu, 23, meninggal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang wanita berusia 23 tahun.

Beliau berkata, remaja berkenaan dan wanita tersebut dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Paabas manakala seorang lagi penunggang motosikal dari arah bertentangan.

“Berdasarkan siasatan awal dijalankan dan juga keterangan daripada saksi bebas, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun itu memotong Perodua Bezza.

“Ketika sedang memotong kereta terbabit dia bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum tercampak ke laluan kiri dan dirempuh oleh kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu kedua-dua penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal di lokasi kejadian sebelum jenazah mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan selain polis turut meminta saksi awam untuk tampil menyalurkan maklumat.

“Kesemua kenderaan yang terlibat kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

22281
Kongsi :
Previous post Warga emas maut, motosikal terbabas
Next post Orang Jasin jom meriahkan Karnival Komuniti Jasin Sejahtera
Ubah saiz-+=