Dua termasuk OKU maut dalam dua kemalangan berasingan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

REMBIA 4 Feb. – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dan pemandu lori maut dalam dua kemalangan berasingan di Taman Kejora, Tebong dan Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 9 pagi tadi, remaja OKU, G Tamilarasan, 17, maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya dilanggar kereta PERODUA Kembara di Simpang Tiga, Taman Kejora Tebong.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang menghadapi masalah pembelajaran, dalam perjalanan dari arah Taman Kejora dipercayai membelok ke kanan sebelum menghala ke Tebong.

“Bagaimanapun, kereta PERODUA Kembara dipandu lelaki berusia 46 tahun yang dalam perjalanan dari arah Tebong ke Tampin melanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang Taman Kejora,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibatnya, mangsa yang tinggal di Ladang Tebelong, Tebong di sini dan bekerja sebagai pengembala lembu mati di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya.

Siasatan mendapati cuaca ketika kejadian baik dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk dibedah siasat.
Kedua-dua kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian jam 5 pagi tadi, pemandu lori Mohd Hizat Md Radzi, 45, meninggal dunia selepas kenderaannya terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan di Lebuh AMJ berhampiran Kampung Paya Datuk, di sini.

Arshad berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kelemak ke kilang Honda di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya.

Mangsa yang beralamat di Kampung Berona Kanan Jeniang, Gurun Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dibawa HAG untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen yang sama.

Views:

1633
Kongsi :
Previous post Bantu polis kesan dua suspek samun kilang
Next post Program Imunisasi COVID-19 bermula hujung bulan ini dalam tiga fasa
Ubah saiz-+=