Sorting by

×

Dua usahawan tani rugi RM10,000 akibat banjir

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Jun – Banjir yang melanda di kebun sayur dua usahawan tani di Kampung Ayer Hitam Pantai dan Kampung Ayer Hitam Darat, di sini mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian RM10,000.

Air yang naik setinggi kira-kira 0.3 meter sejak pagi kelmarin masih belum surut di kebanyakan tempat dan bencana itu mengakibatkan tanaman diusahakan Khairul Anwar Mohd Salleh, 36, dan Long Yatim, 69 di Kampung Ayer Hitam Pantai dan Kampung Ayer Hitam Darat, di sini ditenggelami air.

Khairul Anwar berkata, kebunnya seluas 0.8 hektar dinaiki air mulai jam 11 pagi kelmarin selepas hujan lebat mulai jam 5 pagi dan mengakibatkan bendi dan sawi yang ditanam sejak dua minggu lalu ditenggelami air.

“Sebelum ini pernah berlaku banjir tetapi air tidak naik sampai satu kaki (0.3 meter) seperti kelmarin dan menyebabkan bendi dan sawi tenggelam.

“Segala kos benih, baja, racun dan membajak tanah bernilai kira-kira RM3,000 tenggelam bersama-sama banjir tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa selain terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM4,000 yang termasuk jangkaan hasil jualan,” katanya di kebunnya hari ini.

Dia mendakwa, parit berhampiran kebun berkenaan tidak dikorek kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak dua tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Long menunjukkan sayur bendi yang rosak akibat banbjir di kebunnya di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Sementara itu Long berkata, walaupun air sudah surut di kebunnya, sayur bendi di kawasan seluas kira-kira 1.6 hektar rosak kerana ditenggelami air.

“Air surut mulai petang semalam tetapi bendi rosak teruk dan saya tidak mungkin memperoleh pulangan daripada sayur yang sudah rosak,” katanya.

Dia berkata, berikutan kemusnahan pelbagai jenis sayur di kebunnya seluas kira-kira dua hektar, beliau kerugian RM6,000 termasuk jangkaan hasil jualan.

“Kami merayu JPS segera melantik kontraktor untuk mengorek parit berhampiran kebun kerana ia dipercayai sudah dipenuhi tanah dan rumput yang menyukarkan air mengalir.

“Ini kali pertama kami mengalami kerugian besar, tidak seperti kerugian sebelum ini kerana jika hujan lebat sekali pun, air tidak naik hingga satu kaki (0.3 meter),” katanya.

Selain bendi, tanaman lain yang turut musnah ialah labu air dan timun yang memerlukan tempoh dua bulan penanaman sebelum dituai, katanya.

Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah ketika dihubungi berkata, jabatan itu sedia meneliti masalah sistem pengairan dan saliran di kawasan kebun berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1204
Kongsi :
Previous post Keahlian PPPM meningkat, pencapaian positif
Next post PPPM main peranan menjadi warga dunia bertanggungjawab
Ubah saiz-+=