Dugaan Ramadan, rumah pusaka, baju raya anak musnah

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

LENDU 15 April. – Impian sepasang suami isteri untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana ceria berkecai apabila rumah pusaka mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Durian Daun, di sini awal pagi ini.

Siti Faismah Basir, 42, dan suami, Sulaiman Kaus, 42, malah sempat membeli beberapa pasang pakaian anak perempuan berusia empat tahun dan dua anak lelaki, masing-masing berusia lima dan enam tahun minggu lalu.

Katanya, walaupun persiapan itu belum lengkap sepenuhnya, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menggembirakan ketiga-tiga anak kesayangan menjelang Aidilfitri.

SITI Faismah (duduk) menerima ziarah rakan dan jiran selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah awal pagi ini. Foto DIN AHMAD

“Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sama sekali berbeza dengan yang tahun lalu kerana segalanya musnah bersama-sama rumah ditelan api.

“Namun kami tetap tabah menghadapi ujian pada awal Ramadan ini kerana segala-galanya adalah atas kehendak-Nya dan kita harus menerimanya dengan reda,” kata Siti Faismah.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, keseluruhan rumah limas atau rumah tradisional Melaka yang dibina arwah bapanya, Basir Fazaldin pada 1965, sebelum ditambah dengan rumah bahagian dapur pada 1987, musnah sama sekali akibat disambar api.

Guru Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, di sini itu berkata, ketika kejadian, dia tersedar daripada tidur apabila terasa bahang panas sebelum segera mengejutkan suami.

NORISAH diselamatkan menantunya Sulaiman Kaus dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah awal pagi ini. Foto DIN AHMAD

“Kami nampak api dari anjung rumah sudah sampai ke ruang tamu dan kami tidak berlengah terus membawa ibu dan anak keluar dari rumah.

“Bagaimanapun, suami masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil dokumen penting dan kunci kereta Perodua Alza sebelum berjaya menyelamatkan kenderaan itu hingga menyebabkan bahu kanannya cedera terkena bahang api,” katanya.

Sementara itu, ibunya Norisah Tahir, 79, berkata, biarpun amat sedih kehilangan rumah pusaka arwah suaminya, terutama rumah limas, dia tetap bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dalam kebakaran itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.melakahariini.my/saya-tidak-sedar-bila-tangan-saya-melecur/

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post ‘Saya tidak sedar bila tangan saya melecur’
Next post KKM cadang rentas negeri sempana Aidilfitri ditangguh
Ubah saiz-+=