Sorting by

×

DUKA BERGANTI SINAR, PASANGAN WARGA EMAS SEBAK TERIMA RUMAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TANJUNG BIDARA 26 April – Hanya rasa syukur dan terima kasih dapat dizahirkan pasangan warga emas ini apabila musibah kebakaran rumah yang menimpa mereka pada 8 Januari lalu mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Ia selepas Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) tampil menghulur tangan membina baharu rumah pasangan berkenaan di Jalan Solok Pengkalan Balak, di sini, dengan peruntukan RM70,000 di bawah Program Melaka Rumahku.

Ramli Hasan, 68 bersama isteri, Bainah Nordin, 68, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila mengenangkan keprihatinan semua pihak yang membantu memudahkan urusan mereka sekeluarga untuk membina semula hidup baharu selepas menempuh detik hitam.

Menurut Ramli, ucapan terima kasih tidak terhingga perlu diberikan kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sentiasa cakna terhadap nasib mereka sehingga kini dapat kembali mendiami rumah baharu yang lebih selesa.

“Inilah lambang kerajaan prihatin terhadap nasib rakyat. Sejujurnya saya sangat terharu bercampur gembira kerana rumah yang hangus terbakar kini berganti baharu.

“Lebih istimewa, saya tidak perlu memikirkan di mana untuk mencari sumber kewangan untuk membina semula rumah kerana semuanya diberikan percuma oleh Kerajaan Negeri.

“Terima kasih Ketua Menteri, terima kasih Exco dan kepimpinan negeri dan terima kasih LPM kerana sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG 20260425 183734
BAINAH ketika disantuni Ketua Menteri. Foto Afiq Mustaffa

Terdahulu, Ramli dan isteri menerima kunjungan Ketua Menteri yang hadir menyempurnakan penyerahan rumah baharu itu yang siap dibina pada 18 Mac lalu.

Turut bersama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Menceritakan kembali detik kebakaran itu, Ramli berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat zohor di masjid dan hanya isterinya berada di rumah.

Katanya, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, di mana api merebak sangat cepat sehingga memusnahkan hampir keseluruhan rumah separa batu dan kayu itu.

“Namun, saya bersyukur isteri yang kurang sihat dapat diselamatkan anak buah yang tinggal berhampiran dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Menurutnya, rumah lama itu menyimpan banyak kenangan, terutamanya bersama arwah anaknya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post PENGURUS ESTET BAWA PULANG HADIAH LEMBU BETINA BUNTING
Next post BERBALOI TEMAN IBU KE PENUTUP WRUR, DAPAT HADIAH EX5