Dulu ‘disuntik’ ilmu, kini jadi saksi guru disuntik vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDAR MELAKA 5 Jun – Seorang penghulu tidak menyangka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Hang Tuah, di sini menjadi lokasi untuknya membalas budi gurunya sendiri.

Dengan bertugas sebagai Penyelaras PPV berkenaan, beliau bukan setakat berpeluang membantu pelbagai lapisan masyarakat, malah membalas budi guru dan pemimpin masyarakat.

Peluang itu dimanfaatkan Ali Hassan Ahmad Shamsuddin, 38, untuk memberikan perkhidmatan terbaik ketika memudahkan mereka menerima suntikan vaksin.

Ali Hassan berkata, beliau terkejut sebaik bertemu bekas gurunya, Fadzilah Abdul Rahman yang mengajar subjek Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Yaakob (SDARY), Merlimau.

Selain itu, beliau turut berpeluang bertemu bekas Imam 1 Masjid Kampung Gelam, Tanjung Kling, Johan Ibrahim dan bekas Pengarah Pelajaran Melaka, Datuk Mohd Raus Mohd Sam serta isteri, Datin Che Teh Tambichek.

Ali Hassan (kiri) membantu Johan Ibrahim untuk menerima suntikan vaksin di Dewan Hang Tuah, Jalan Munshi Abdullah, Melaka. – Foto DIN AHMAD

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal itu berkata, beliau dipinjamkan Pejabat Daerah Alor Gajah ke Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) bagi menjayakan Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan (PICK).

“Hari ini sudah masuk hari ke-100 program itu berjalan dan saya tidak menyangka sama sekali berpeluang bertemu mereka yang rata-ratanya berusia lebih 70 tahun dan yang pernah berbudi kepada saya sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya juga bertemu Ustaz Johan yang menjayakan banyak program agama ketika saya bertugas sebagai Penghulu DUN Pantai Kundor sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Ali Hassan berkata, beliau juga gembira berpeluang membantu bekas EXCO negeri, Datuk Wira Gan Boon Leong yang turut menerima suntikan vaksin.

Ali Hassan (kiri) membantu Gan Boon Leong (berkerusi roda) untuk menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Hang Tuah, Jalan Munshi Abdullah, Melaka.
– Foto DIN AHMAD

Katanya, beliau dipilih memikul tugas berkenaan kerana Penghulu adalah pihak yang paling hampir dengan anggota komuniti dan mampu menjelaskan mengenai program vaksinasi kepada mereka.

Antara petugas di PPV ialah doktor, jururawat, anggota Angkatan Pertahanan Awam, RELA, sukarelawan dan kakitangan dari pelbagai jabatan kerajaan yang dipinjamkan kepada PICK.

“Sekarang PICK berada dalam fasa dua, iaitu pemberian vaksin kepada warga emas yang berisiko tinggi.

“Saya membantu memberikan penjelasan kepada anggota komuniti supaya jangan bimbang untuk mengambil vaksin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, anggota komuniti tidak seharusnya terpengaruh dengan pandangan golongan anti vaksin yang tidak memikirkan mengenai program mengurangkan jangkitan COVID-19 secara keseluruhannya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

728
Kongsi :
Previous post PM minta JKJAV kaji cadangan pendaftaran vaksin automatik
Next post Lebih 300 lagi PPV akan dibuka – Muhyiddin
Ubah saiz-+=