PM minta JKJAV kaji cadangan pendaftaran vaksin automatik

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 5 Jun – Bagi memastikan lebih ramai rakyat divaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melihat semula proses pendaftaran vaksin termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik.

Perdana Menteri berkata beliau juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.

“Untuk itu, saya telah mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin,” katanya menerusi ucapan berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.

Setakat semalam, seramai 1,127,336 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Mengambil maklum keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu untuk menerima vaksin masing-masing, perdana menteri turut mengarahkan JKJAV memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.

Beliau berkata sehingga hari ini, hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, iaitu hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat supaya tampil sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

Beliau berkata golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

“Penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan whole of government dan whole of society untuk kita mencapai 80 peratus yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post Percepat kajian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak
Next post Dulu ‘disuntik’ ilmu, kini jadi saksi guru disuntik vaksin
Ubah saiz-+=