Percepat kajian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menggesa kajian mengenai vaksin untuk kanak-kanak di negara ini dipercepatkan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia berikutan kes jangkitan COVID-19 membabitkan kanak-kanak setakat ini sudah mencecah 82,000 kes dan ia menunjukkan trend yang kian membimbangkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membolehkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi kanak-kanak disegerakan.

“Mengikut data yang kita terima, jangkitan tertinggi COVID-19 membabitkan kanak-kanak ialah membabitkan mereka dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun yang menyumbang 33 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Jadi, saya minta dipercepatkan kerana ada negara seperti Amerika Syarikat yang sudah memberi vaksin kepada 600,000 kanak-kanaknya yang berusia 13 hingga 17 tahun. Begitu juga dengan negara jiran kita, Singapura yang sudah memulakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

“Pada masa sama, saya menyeru ibu bapa agar menerapkan pematuhan SOP dalam kalangan anak-anak mereka dan tidak membawa mereka ke tempat sesak, selain mereka juga perlu mengadakan aktiviti yang menyeronokkan di rumah untuk mengurangkan keinginan kanak-kanak keluar rumah dan terdedah kepada bahaya,” katanya.

RINA pada sidang media selepas membuat tinjauan operasi di PKRC MITC membabitkan petugas-petugas JKM.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan dan pemantauan petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Rina berkata, setakat ini, seramai 147 pesakit kanak-kanak telah ditempatkan di PKRC MITC dan daripada jumlah itu, 99 daripadanya merupakan mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun dan 48 lagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Selain membuat tinjauan dari jauh, dalam lawatan itu juga beliau sempat menyampaikan beberapa barang keperluan untuk kanak-kanak seperti buku mewarna, alat permainan dan lain-lain bagi membolehkan kesemua mereka mempunyai aktiviti untuk dilakukan ketika menjalani kuarantin.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post TYT lawat PPV Dewan Tun Ali sempena ulang tahun
Next post PM minta JKJAV kaji cadangan pendaftaran vaksin automatik
Ubah saiz-+=