Sorting by

×

Dulu ‘pilot darat’, kini selesa jual air kelapa

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Julai – Pada mulanya Mohd Nizam Ithnin, 44, menjangka hidupnya selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai pemandu lori akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, pasti sukar dan berliku.

Puas dia memikirkan punca rezeki untuk menyara keluarga dan cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19 bukanlah kecil, sebaliknya amat berat untuk ditempuhi.

Namun demikian, di sebalik penderitaan kehilangan pekerjaan, tersembunyi hikmah amat berharga.

Perjalanan hidup yang disangkakan penuh berliku akibat kehilangan pekerjaan, pada hakikatnya ada sinar apabila dia memulakan perniagaan air kelapa muda yang agak berbeza dengan perniagaan air kelapa muda konvensional.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Ali dalam kalangan penduduk Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini menguatkan semangat mendapatkan sebuah lori sebelum memuatkannya dengan kelapa muda dan pelbagai peralatan menjual air berkenaan.

“Apabila diberhentikan kerja akibat PKP pada tahun 2020, saya fikir pasti sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain dan apalah nasib keluarga saya kelak.

“Bagaimanapun, saya mendapat idea berniaga air kelapa muda tanpa dicampur dengan air gula

“Berbekalkan wang pampasan pemberhentian kerja, saya mendapatkan lori dan memperoleh bekalan kelapa muda daripada beberapa usahawan tani di Jasin pada pertengahan tahun lalu sebelum memulakan perniagaan ini sehingga sekarang,” katanya di Pantai Puteri hari ini.

MOHD Nizam menyerahkan air kelapa muda tanpa air gula kepada pelanggan di Pantai Rombang, Pantai Puteri. Foto Din Ahmad

Katanya, tanpa air gula, pelanggan menikmati air kelapa muda tulen, selain isi kelapa yang lembut dan menyelerakan.

Hasil kesabaran dan ketekunan, Mohd Nizam sudah mampu mengukir senyuman setiap kali memulakan perniagaan pada jam 9 pagi dan berakhir menjelang senja.

Dengan sebungkus air kelapa muda berharga RM6, dia berulang alik ke kebun kelapa milik pembekal di Jasin untuk mendapatkan 1,000 kelapa muda setiap kali bekalan hampir habis.

“Alhamdulillah pandemik COVID-19 dan PKP membuka laluan untuk saya mendapatkan rezeki hingga saya mampu menjual antara 30 hingga 40 biji kelapa muda sehari,” katanya.

Pelanggan dari Bukit Katil, Nor Atiqah Mohd Noor, 47, berkata dia gemar menikmati air kelapa muda tanpa dicampur dengan air gula setiap kali mengunjungi pantai peranginan itu.

Katanya, kelazatan air kelapa muda tanpa air gula bukan setakat menghilangkan dahaga, malah paling dihajatinya setiap kali bersantai bersama-sama anggota keluarga di pantai indah itu pada waktu petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3220
Kongsi :
Previous post Rogol remaja: Penceramah diserah kepada polis KL
Next post RM95,000 bantu baik pulih, bina rumah penduduk susah
Ubah saiz-+=