
DUN DUYONG CAPAI KPI, MENIFESTO DIPENUHI
DUYONG 4 Ogos – Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong kini tidak lagi berdepan isu besar selepas permasalahan yang dibangkitkan rakyat berjaya diselesaikan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pelbagai usaha penyelesaian sewajarnya telah dizahirkan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sepanjang pentadbiran beliau, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan itu.
“Apabila Ketua Menteri datang ke Duyong, agak sukar untuk mencari isu besar yang perlu dibangkitkan kerana kebanyakan perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri telah diselesaikan.
“Bukan bermaksud tiada isu langsung, tetapi isu yang masih ada kebanyakannya membabitkan agensi Persekutuan. Apa yang berada dalam kawalan Kerajaan Negeri semuanya telah diusahakan dan diberikan perhatian sewajarnya oleh Ketua Menteri sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Madrasah Helyatil Auliya Addiniah Al-Arabiyah, Kampung Jambatan Duyong, di sini, Ahad lalu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pendekatan kepimpinan yang dilaksanakan Ketua Menteri membolehkan pelbagai agenda pembangunan diterjemahkan secara berkesan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Bagi DUN Duyong, tumpuan kami ketika ini adalah untuk terus menunaikan segala janji bagi memastikan komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat dapat terus direalisasikan sepenuhnya.
“Selain itu, di peringkat DUN Duyong juga, manifesto yang dijanjikan telah dipenuhi. Ada yang mencapai 100 peratus dan ada juga yang melebihi sasaran asal, namun yang paling penting semua petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan telah berjaya dicapai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

