
DURIAN, NANGKA DAN NANAS MELAKA TEMBUSI PASARAN JEPUN
OSAKA, JEPUN 1 September – Tiga buah-buahan tempatan yang ditanam di Melaka telah menarik minat pengusaha di Jepun untuk dibawa masuk ke negara matahari terbit itu.
Tiga buah-buahan itu adalah durian, nangka dan nanas yang mempunyai peminatnya di Jepun.
Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib berkata, hasrat itu dinyatakan sebuah syarikat pengimport buah-buahan iaitu Kawori Orchard Inc yang juga mempunyai dusun durian di daerah Jasih seluas 32 ekar.
Katanya, melihat potensi pasaran buah-buahan di Jepun, syarikat berkenaan bakal memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat tempatan di Melaka bersempena Minggu Melaka pada World Expo 2025, Osaka.
“Jadi, MoU ini akan membabitkan Kawori Orchard Inc (Jepun) dengan Koon Huat Agriculture (M) Sdn. Bhd yang akan bertindak sebagai syarikat di Malaysia yang akan membawa buah-buahan ini ke pasaran Jepun.
“Buat masa ini, eksport durian adalah membabitkan ‘whole fruit’, manakala bagi nangka, ia dijangka dieksport dalam bentuk buah-buahan yang telah dikopek dan dipekkan.
“Selain buah-buahan, kita juga merancang untuk membawa produk hiliran seperti aiskrim dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Melaka Agricultural Talk bersempena Minggu Melaka World Expo 2025 Osaka di Business Hall, Pavillion Malaysia, di sini, hari ini.
Terdahulu, sesi perkongsian yang diadakan bagi memperkenalkan durian Melaka itu telah disampaikan oleh Masaaki Saito mewakili Kawori Orchard Inc dan ia telah disertai kira-kira 30 peserta.
Menurut Rozli, sesi tersebut amat penting memandangkan ia berjaya memperkenalkan keunikan produk pertanian negeri kepada peserta luar negara, di mana rata-ratanya menunjukkan minat mengenai pertanian di Melaka.
Beliau berkata, selepas ini, Jabatan Pertanian Negeri Melaka akan terus menggerakkan usaha mempromosi produk buah-buahan Melaka ke luar negara, khususnya membabitkan Jambu Melaka atau MelGuv yang baru sahaja dilancarkan pada Melaka Agrofest 2025, Jun lalu.
“Insya-Allah kita akan cuba berkolaborasi dan membawa syarikat berminat ke ladang jambu Melaka kita supaya ia dapat dipasarkan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.