Sorting by

×

E-SPA TRANSFORMASI RANCAKKAN INDUSTRI PERUMAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 September – Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan Perjanjian Jual Beli Elektronik (E-SPA) dalam merancakkan lagi industri perumahan Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaksanakan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) itu menjadi bukti komitmen kerajaan dalam mentransformasikan industri perumahan agar lebih cekap.

“Hidup di era yang berubah dengan pantas dan didorong gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mendepani arus perubahan dengan menggalakkan pendigitalan dalam semua sektor termasuk perumahan yang menjadi tulang belakang ekonomi serta pembangunan sosial negeri.

“Inisiatif ini juga selaras dengan Dasar Perumahan Negara dan Melakaku Maju Jaya ia memudahkan rakyat, memodenkan industri selain menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi digital negeri.

“E-SPA dijangka dilaksanakan pada November yang mana selepas ini pembeli tidak lagi perlu lagi mengisi borang secara manual. Namun begitu saya amat berharap agar semua pihak terlibat juga mengambil kira tentang keselamatan daripada sudut siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat E-SPA, Tandatangan Digital Dan Estamping Kepada Pemaju Perumahan yang turut dihadiri Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ngoh Chun How, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Rais, menerusi integrasi bersama Pos Digicert sebagai ‘Licensed Certification Authority’ dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui sistem E-STAMPS dalam talian, proses sebelum ini yang memerlukan kertas dan pergerakan fizikal diselesaikan secara maya.

“Pelaksanaan ini juga antara lain dapat meningkatkan keselamatan, memastikan ketelusan serta secara tidak langsung akan mempercepatkan urusan proses yang sebelum ini mengambil masa beberapa hari.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua pemaju untuk memberi komitmen sepenuhnya serta mengaplikasikan sistem baharu. Sokongan semua pihak yang terlibat adalah pemangkin kejayaan kepada tranformasi,” katanya.

Jelasnya, Melaka menjadi negeri ke-10 yang mengadakan taklimat ini dengan membabitkan penyertaan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pemain industri termasuk pemaju dan peguam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

545
Kongsi :
Previous post MAIM KOMITED PERKASA USAHAWAN ASNAF
Next post HARI INOVASI NEGERI MELAKA 2025 LEBIH MERIAH