Sorting by

×

Eksesais Mantis tingkatkan kesiapsiagaan TDM hadapi ancaman CBRNe

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SUNGAI UDANG 24 Mac – Kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangani ancaman biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) terus dipertingkatkan berikutan corak ancaman yang berubah-ubah dan tidak lagi menjurus kepada peperangan konvensional semata-mata.

Timbalan Panglima Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, kesiapsiagaan itu dipertingkatkan menerusi eksesais bilateral antara TDM dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) menerusi Eksesais Mantis yang dilaksanakan hampir setiap tahun sejak 2015.

Katanya, kali ini eksesais itu dilaksanakan dalam skala lebih besar dan membabitkan perkongsian kepakaran dan teknologi antara kedua-dua pasukan terbabit.

“Konsep peperangan masa kini tidak hanya melibatkan peperangan konvesional. Pengganas kini menggunakan agen kimia, biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) sebagai senjata, Malaysia juga tidak terkecuali daripada terdedah kepada ancaman ini.

“Persediaan TDM menghadapi ancaman bahaya ini memerlukan latihan khusus dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi, jadi eksesais dijalankan adalah medium terbaik untuk menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman pengganas yang menggunakan taktik bahan kimia sebagai senjata.

“Pada eksesais ini turut membabitkan wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertindak sebagai pemerhati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutup Eksesais Mantis Siri 8/2022 di Kem Terendak, Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Wayne Robson; Komander Jurutera Medan Barat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa; Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim dan Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Katanya, hasil daripada eksesais berterusan itu pasukan 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diatur gerak bagi membantu operasi di kawasan terjejas pencemaran bahan kimia beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, dua tahun lalu.

“Banyak perkara kita pelajari daripada ATK, pertama ilmu pengetahuan dan yang lebih penting di sini, tidak ada ‘live agent’ atau agen sebenar.

“Apabila anggota berangkat ke Kanada, mereka akan melaksanakan latihan ‘live agent’, itu akan memberi pengamalan sebenar (menangani ancaman CBRNe).

“Di negara ini lebih menfokuskan kepada kumpulan pakar CBRNe, pasukan pemusnah alat letupan reka ganti (IED), perubatan dan penggempur GGK bagi menyokong operasi anti keganasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1528
Kongsi :
Previous post Lantikan sukarelawan tertangguh, Abang Viva sibuk program menyelamat
Next post Hotel MITC sedia lebih 100 juadah, tawar baucar potongan 20 peratus berbuka puasa
Ubah saiz-+=