
EKSPLORASI EKSPANSI KUKUHKAN JARINGAN KOPERASI MELAKA- TERENGGANU
TERENGGANU 3 September – Program Eksplorasi Pasaran dan Jaringan Perniagaan (EKSPANSI) Gerakan Koperasi Negeri Melaka melakar sejarah apabila menyaksikan pemeteraian kerjasama ‘Mentoring and Coaching’ antara koperasi Melaka dan Terengganu, sekali gus memperkukuh jaringan strategik kedua-dua negeri.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah berkata acara penyerahan surat pelantikan itu berlangsung dalam satu Majlis Makan Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman dan dihadiri Timbalan Exco, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Katanya, dua kerjasama yang dimeterai membabitkan Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad bersama Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Berhad untuk membangunkan ekopelancongan lasak melalui aktiviti All Terrain Vehicle (ATV).
“Manakala kerjasama kedua melibatkan Koperasi Nelayan Pantai Kundur Melaka Berhad bersama Koperasi Setia Jaya Pulau Redang Kuala Terengganu Berhad untuk memperkukuh kepakaran penghasilan ais batu dan perkhidmatan sokongan pelancongan di pulau.
“Inisiatif ‘Mentoring and Coaching’ ini mampu menjadi pemangkin kepada koperasi di Melaka untuk membina kapasiti, meningkatkan daya saing serta mengadaptasi model perniagaan berjaya dari Terengganu.
“Kerjasama ini memberi peluang koperasi Melaka belajar secara langsung daripada kejayaan koperasi di Terengganu.
“Ia adalah pemindahan ilmu, kepakaran dan pengalaman yang akan memberi kesan positif kepada komuniti di negeri kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Allex menegaskan usaha tersebut bukan sahaja dapat memperluas aktiviti koperasi, malah memberi limpahan ekonomi khususnya dalam sektor ekopelancongan, perikanan dan perkhidmatan.
“Program EKSPANSI yang berlangsung selama tiga hari ini turut membawa delegasi Melaka melawat beberapa koperasi berpotensi tinggi termasuk Koperasi Rekreasi 3A (paragliding), Koperasi Sahabat Gunung Tebu (ATV), Koperasi Setiajaya Pulau Redang (ais batu, bot & van) dan Koperasi Warisan Seberang Takir (perkhidmatan bot pelancongan).
“Langkah ini diyakini akan mencetuskan idea baharu serta membuka peluang kerjasama lebih luas dalam memperkukuh gerakan koperasi Negeri Melaka pada masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.