Eksport produk pokok karas 2021 merosot

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LINGGI 9 Jun – Negara mencatatkan penurunan eksport produk pokok karas atau gaharu negara kepada RM1.58 juta pada 2021 berbanding RM1.85 juta pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, sehubungan itu MTIB terus membantu syarikat atau pekebun kecil meningkatkan penanaman pokok karas berikutan pulangan lumayan melalui industri penghasilan pati minyak gaharu daripada pokok karas.

Beliau berkata, pendapatan eksport negara melalui industri perkayuan meningkat tiga peratus kepada RM22.7 bilion tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya walaupun negara menghadapi kekangan akibat pandemik COVID-19.

“Produk berasaskan kayu seperti papan lapis, kayu bergergaji dan perabot dieksport ke 173 negara,” katanya selepas merasmikan Pusat Sehenti Gaharu Melaka di ladang Biobenua Teknologi Sdn Bhd (Biobenua Teknologi), di Kuala Linggi dekat sini hari ini.

Pekerja membelah pokok karas sebelum diproses untuk mendapatkan pati minyak gaharu di Biobenua Teknologi di Kuala Linggi, dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Hishamuddin berkata, perabot adalah penyumbang tertinggi eksport bernilai RM3.1 bilion atau 47.3 peratus pada suku pertama 2022 dan diikuti papan lapis bernilai RM896.5 juta (13.7 peratus) dan kayu bergergaji RM640.9 juta (9.8 peratus).

“MTIB dilantik sebagai Pihak Berkuasa Pengurusan atau MA bagi CITES untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan.

“Jabatan Perhutanan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Sabah pula dilantik sebagai MA di negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, urusan pendaftaran ladang dan perdagangan antarabangsa bagi karas dan gaharu perlu dikemukakan kepada MA berkenaan kerana ia termaktub dalam Konvensyen CITES.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1476
Kongsi :
Previous post Kolej Komuniti Jasin berkongsi ilmu bersama wanita Jasin
Next post Lebar jalan simpang masuk Felda Hutan Percha, elak sesak
Ubah saiz-+=