Empat laporan polis terhadap Al Jazeera dan Md Rayhan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT BARU 8 Julai – Empat laporan polis dari badan bukan kerajaan (NGO) negeri dibuat terhadap media antarabangsa, Al Jazeera dan individu bernama Md Rayhan Kabir membabitkan video dokumentari yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Melaka Hishammudin Abu Bakar, 52 berkata tindakan Md Rayhan itu disifatkan sebagai pengkhianat kerana mempunyai niat untuk mencalarkan nama negara meskipun sudah diberi peluang untuk mencari rezeki di Malaysia.

“Kalau ada undang-undang yang boleh melucutkan perolehan harta daripada pihak itu (Al Jazeera dan Md Rayhan), mereka perlu dikenakan tindakan.

“Ini sebagai pengajaran supaya mereka menghormati negara yang memberi ruang untuk mereka mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Balai Polis Bukit Baru, malam tadi.

Berikutan itu, empat laporan polis dibuat di balai polis berkenaan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Al Jazeera dan individu dikehendaki itu.

Hishammudin yang turut mewakili lebih 100 NGO negeri berkata, Al Jazeera yang berperanan sebagai media antarabangsa sepatutnya memberi keadilan terhadap negara mengenai situasi sebenar kerajaan menangani Covid-19.

“Sepatutnya, jika mahu membela keadilan pendatang (tanpa izin) itu, seharusnya mereka memberi keadilan dengan memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia untuk mendapatkan maklumat sebenar,” katanya.

Sementara itu, Syafik Afendi Md Isa yang mewakili Gerakan Islam Melaka (GIM) berkata tindakan dua pihak terbabit jelas menjatuhkan maruah dan memberi nama buruk terhadap negara.

“Kami, anak muda sanggup melakukan apa sahaja untuk memartabatkan nama negara supaya kekal terbaik di persada dunia,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, paparan video berdurasi 25 minit 50 saat yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mendakwa kerajaan Malaysia bersifat perkauman dengan memberi layanan buruk terhadap pendatang tanpa izin ketika menangani wabak Covid-19.

Views:

320
Kongsi :
Previous post “Jangan burukkan nama Pantai Puteri”
Next post Infrastruktur kawasan pelancongan ditambah baik
Ubah saiz-+=