“Jangan burukkan nama Pantai Puteri”

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PANTAI KUNDOR 8 Julai – Orang ramai dinasihati agar tidak mudah percaya dengan penularan berita palsu kononnya Pantai Puteri, di sini, sedang didatangi spesis obor-obor yang boleh membawa kepada kematian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, penularan berita itu baru-baru ini merupakan satu agenda jahat pihak tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan imej pantai ini yang merupakan antara produk pelancongan Melaka.

“Saya harap benda yang tak betul seperti ini janganlah ditularkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kawasan ini, bahkan juga kepada Negeri Melaka secara keseluruhan.

“Selepas sekian lama kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini adalah masa untuk kita menarik semula kehadiran pelancong, tetapi bila keluar berita seperti ini, ia membuatkan orang takut untuk datang ke sini.

“Bukan itu sahaja, pendapatan nelayan dan peniaga kecil di sini juga boleh terjejas sekiranya berita palsu ini tidak dibendung sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri, pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai serangan obor-obor yang dikatakan terjadi kepada pengunjung yang mandi-manda di sini, baru-baru ini, Nor Azman berkata, ia hanyalah perkara biasa di kebanyakan pantai yang ada di negara ini.

Katanya, kehadiran obor-obor di Pantai Puteri bergantung pada musim dan mengikut arah angin, terutama ketika musim udang geragau.

“Bila mula musim geragau seperti sekarang, memang adalah obor-obor. Tetapi obor-obor ini bukanlah terlalu berbisa hingga boleh membawa maut dan jauh sekali seperti gambar yang ditularkan.

“Lagi pun, pengunjung perlu melihat papan tanda yang ada di Pantai Puteri ini. Memang dari awal kita dah maklumkan tidak digalakkan berenang di pantai ini sebab kita tak tahu kedalaman laut di kawasan ini.

“Untuk berkelah, bersantai memang terbaik, tetapi jika berenang kita tak galakkan kerana kita tak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya lagi.

Views:

511
Kongsi :
Previous post ADUN Rim pantau penduduk terkesan bencana ribut
Next post Empat laporan polis terhadap Al Jazeera dan Md Rayhan
Ubah saiz-+=