Sorting by

×

Empat lelaki ditahan bersama 420 bungkus air ketum, 75kg daun ketum

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BALIK PULAU, 2 April – Polis menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan empat lelaki bersama 420 bungkus air ketum dan 75 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan pada 1.45 tengah hari dan menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun.

“Dalam serbuan tersebut, polis menemui 120 bungkus air ketum yang siap diproses di dalam kereta diparkir di hadapan rumah manakala pemeriksaan di dalam rumah menemukan tiga tong ais di dalamnya mengandungi 300  bungkusan air ketum yang siap diproses, kesemuanya bernilai RM2,100.

“Selain itu, kami turut merampas 15 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 75kg bernilai RM3,000 dan pelbagai peralatan untuk memproses air ketum,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek menjual air ketum itu di sekitar Bayan Lepas dengan harga RM5 dan sindiket tersebut mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri jiran, katanya.

Kamarul Rizal berkata empat lelaki itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya kerana membuat laporan palsu mendakwa disamun namun siasatan mendapati dia bertindak sedemikian kerana kehilangan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), dua hari lepas.

Katanya lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu itu mendakwa disamun dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ketika berjalan di kawasan jejantas berhampiran Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini.

“Siasatan polis mendapati kejadian itu tidak berlaku dan tujuan laporan dibuat adalah bagi mendapatkan kad UNCHR baharu kerana kad lama sudah hilang dan tamat tempoh pada 2021,” katanya.

Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Hanya beberapa jam menjelang 1 Ramadan, orang ramai sibuk buat persiapan
Next post Agong, Permaisuri zahir ucapan Ramadan, seru umat Islam gandakan ibadah
Ubah saiz-+=