
EMPAT MISI BESAR MELAKA DI JEPUN
SERI NEGERI 28 Ogos – Penyertaan Melaka ke World Expo 2025 di Osaka, Jepun dari 31 Ogos hingga 6 September 2025 membawa empat misi dan objektif utama bagi mempamerkan potensi ekonomi dan pelaburan kepada global.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, Melaka merupakan negeri ketujuh mewakili Malaysia ke ekspo bertaraf dunia yang bertemakan ‘Designing Future Society for Our Lives’ itu.
Jelas beliau, objektif utama yang ditetapkan adalah menarik pelaburan baharu dari negara matahari terbit itu, selain memperluas pasaran produk usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di Asia Timur.
“Selain itu, Melaka juga berhasrat membina rangkaian global dengan menjalin kerjasama antarabangsa melalui pertukaran idea berkaitan inisiatif bandaraya mampan oleh bandaraya-bandaraya lain di dunia.
“Pada masa sama, kita juga mahu mempromosi zon ekonomi baharu seperti Melaka Straits of Waterfront Economic Zone (SM-WEZ), MCORP Hi-Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran bagi Penyertaan Melaka ke World Expo 2025 di Osaka, Jepun di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, sewaktu penyertaan Melaka di negara matahari terbit itu juga, Kerajaan Negeri akan mengadakan lawatan kerja melalui misi pelaburan khas bagi meneroka peluang pelaburan dan kolaborasi teknologi.
Jelas beliau, misi tersebut memberi fokus kepada sektor perubatan, farmaseutikal dan pengurusan kesihatan pintar di dua buah syarikat utama di Jepun iaitu Nipro Corporation, Shiga dan Sysmex Corporation, Kobe.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.