Tujuh atlet Melaka cemerlang SPM 2020

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MELAKA menjadi antara negeri yang kini bukan sahaja mampu melahirkan atlet berpotensi besar dalam bidang sukan, bahkan turut cemerlang dalam bidang akademik.

Ia apabila tujuh atlet dalam pelbagai cabang sukan di negeri, berjaya memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan, Khamis lalu.

Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Tan Gek Chu berkata, antara atlet cemerlang dalam SPM 2020 termasuklah tiga atlet SUKMA, iaitu Apple Lau Ka Yan (gimnastik), Mikha Manoharan (tenpin boling) dan Rahul Raj A/L Suraj (tenis) yang memperoleh keputusan 9A.

LOO Yan Tat (kiri) dan Mikha Manoharan antara atlet yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

Selain itu, ujarnya, tiga lagi atlet pelapis yang diletakkan dalam program Pembangunan iaitu Loo Yan Tat dan Teo Jie Sern dalam sukan badminton turut cemerlang dengan masing-masing meraih 11A dan 9A, manakala atlet berbasikal, Muhammad Ariff Haziq Mohd Latiff memperoleh 9A.

Seorang lagi yang mendapat keputusan 9A ialah atlet taekwondo, Vyan Lee HuiJie.

“MSN Melaka sememangnya berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang diraih atlet negeri ini kerana ia menunjukkan kita bukan sahaja melahirkan juara dalam bidang sukan tetapi juga atlet cemerlang akademik.

“Syabas dan tahniah kami ucapkan dan diharap kejayaan ini dapat menjadi ikutan kepada atlet lain di masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Gek Chu berkata, MSN Melaka kekal komited dalam memberi penekanan dan fokus bukan kepada sukan semata-mata, bahkan juga kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Dengan usaha ini, kita berharap lebih ramai atlet cemerlang dalam sukan dan akademik dapat dilahirkan di negeri ini.

“Pada masa sama kita juga berharap stigma segelintir masyarakat yang sebelum ini memandang sukan sebagai bidang yang tidak mempunyai masa depan dapat diubah,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1287
Kongsi :
Previous post Badminton ‘bantu’ anak Melaka raih 11A+ dalam SPM 2020
Next post SOP ketat dinilai semula jika kes COVID turun bawah 4,000 kes- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=