Badminton ‘bantu’ anak Melaka raih 11A+ dalam SPM 2020

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KESIDANG 13 Jun – Bukan sahaja tangkas di gelanggang badminton, tetapi anak jati Lorong Pandan, Melaka ini membuktikan dirinya bijak dalam bidang akademik apabila meraih keputusan 11 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan Khamis lalu.

Loo Yan Tat, 18, atlet pelapis badminton di bawah Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) mengakui seakan tidak menyangka apabila kesemua 11 mata pelajaran yang diambilnya diberikan A+ iaitu cemerlang tertinggi dalam dalam SPM 2020.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) itu, tiada rahsia tertentu dipraktikkan dalam pelajarannya selama ini.

KENANGAN meraih tempat keempat dalam acara berpasukan di Kejohanan Liga Junior Kebangsaan AirAsia-BAM 2019.

Namun, dia mengakui pengalaman beraksi di gelanggang banyak memberikan pengajaran hidup kepadanya sekali gus membentuk peribadinya di sekolah dan dalam bidang akademik.

“Perlu saya akui, sejak pandemik COVID-19 melanda, ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan fokus dalam pelajaran, namun mujurlah sukan memainkan peranan besar dalam hidup saya terutamanya badminton yang telah memberi banyak pengajaran berharga kepada saya.

“Sejujurnya, banyak yang telah saya pelajari ketika beraksi di dalam gelanggang dan semua itu saya terjemahkan dalam kehidupan saya sebagai pelajar sehinggalah ketika menduduki peperiksaan,” katanya.

Selain itu, Yan Tat berkata, sokongan keluarga dan guru-guru di sekolah juga banyak membantunya dalam menghadapi tempoh sukar sehinggalah berjaya meraih keputusan yang cukup membanggakan ini.

“Dengan keputusan ini, ia memberikan lebih banyak pilihan dan peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Jika diberi peluang saya berhasrat menyambung pengajian dalam program ASASI di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pada masa sama turut terbuka jika diberi peluang melanjutkan di luar negara,” ujarnya.

Ditanya sama ada karier badmintonnya akan berkubur selepas menyambung pengajian, Yan Tat berkata, ia sama sekali tidak akan berlaku dan akan terus berusaha mengimbangkan akademik dan sukan untuk terus berjaya di masa akan datang.

“Badminton sudah sebati dengan diri saya sejak kecil dan ia juga memainkan peranan besar membentuk diri saya sekarang.

“Sudah tentu saya akan terus mengembangkan bakat yang ada dan saya percaya masa yang ada boleh dibahagikan secukupnya walaupun bakal menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

PROFIL PEMAIN:

Nama: Loo Yan Tat

Umur: 18

Asal: Lorong Pandan

Mula menceburkan diri dalam badminton: 8 tahun
Pencapaian:

1. Tempat ketiga beregu lelaki bawah 14 tahun di Sirkit Remaja Kebangsaan 2017.

2. Tempat ketiga di Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2019 & 2020.

3. Tempat keempat (berpasukan) di Kejohanan Liga Junior Kebangsaan AirAsia-BAM 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2268
Kongsi :
Previous post Nenek, tiga cucu tular mengemis ‘diselamatkan’
Next post Tujuh atlet Melaka cemerlang SPM 2020
Ubah saiz-+=