Nenek, tiga cucu tular mengemis ‘diselamatkan’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Jun – Kisah seorang nenek bersama tiga cucu yang sebelum ini tular mengemis di medan selera sekitar Bandaraya Melaka telah mendapat perhatian Bahagian Khidmat Musaadah (BKM) Jabatan Ketua Menteri Melaka.

BKM hari ini mengadakan lawatan ke rumah keluarga malang itu bagi mengetahui punca dan permasalahan sebenar di samping cuba membantu keluarga terbabit.

Pengarah BKM Jabatan Ketua Menteri Melaka Sha’ari Samsudin berkata, dalam lawatan itu, pihaknya telah dimaklumkan dua daripada tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai sijil kelahiran yang sah berikutan bapa (warganegara Malaysia) dan ibu mereka (warganegara Filipina) belum mendaftarkan perkahwinan.

BKM mengadakan lawatan ke rumah nenek dan tiga cucu yang sebelum ini tular mengemis di sekitar Bandaraya Melaka.

Jelasnya, perkara itu telah dibawa ke pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu menguruskan pendaftaran kanak-kanak terbabit bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

“Hasil siasatan mendapati bahawa tiga orang kanak-kanak tersebut tidak sah taraf dan hanya seorang sahaja iaitu cucu sulung mempunyai sijil kelahiran (bukan warganegara) manakala dua adiknya masih belum didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pihak kerajaan negeri iaitu wakil daripada JKM bahagian unit kanak-kanak akan membantu menguruskan perkara ini dengan mendapatkan sijil kelahiran bagi dua kanak-kanak itu.

“Selain itu, perbincangan dengan bapa kandungnya juga akan diadakan bagi membolehkan JKM diberikan penjagaan sepenuhnya atau mendaftar kanak-kanak terbabit di bawah jabatan itu bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, nenek kanak-kanak terbabit juga telah diberikan bantuan bulanan RM500 oleh pihak JKM, selain badan bukan kerajaan (NGO) turut akan menyampaikan bantuan kit makanan.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut memberi bantuan wang tunai dan bekalan makanan asas yang disampaikan melalui Pegawai Khasnya, Datuk Ghafar Misdar yang menyertai lawatan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Rugi beratus durian muda gugur dipukul ribut
Next post Badminton ‘bantu’ anak Melaka raih 11A+ dalam SPM 2020
Ubah saiz-+=