Rugi beratus durian muda gugur dipukul ribut

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

REMBIA 13 Jun – Sebuah keluarga berputih mata apabila ratusan biji durian gugur dibadai ribut dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, dekat sini.

Mohd Fadzlien Jaffar, 43, dan isteri, Norisnita Wahit, 42, serta dua anak berusia lapan dan 11 tahun serta ibu, Rokiah Mohamed, 69, terpaksa menelan kepahitan selepas kebanyakan durian pada kira-kira 20 pokok berhampiran kediaman, gugur.

Turut musnah ialah beratus biji cempedak dan keseluruhan bumbung dapur kediaman mereka yang diterbangkan angin dalam sekelip mata.

Fadzlien yang bertugas sebagai jurugambar profesional berkata, hujan lebat bermula jam 11 pagi sebelum dia terlihat kepala angin
hitam datang dari arah pokok durian di belakang kediamannya.

RUGI… Mohd Fadzlien mengutip durian muda yang gugur akibat dipukul ribut berhampiran kediamannya.

“Kepala angin yang hitam pekat itu datang dengan amat laju sebelum merempuh pokok durian dan cempedak serta dalam sekelip
mata sahaja ia mengangkat keseluruhan bumbung dapur.

“Selepas keseluruhan kayu galang, kekuda dan bumbung tercabut, ia terlipat ke bumbung ruang tamu,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Dia berkata, durian yang gugur itu dijangka masak beberapa minggu lagi, sekali gus menyebabkan ia tidak boleh dimakan kerana masih kelat.

Berpuluh biji cempedak yang gugur juga menyebabkan dia kerugian kerana pada musim cempedak sebelum ini, dia mampu mendapatkan pendapatan tambahan hasil daripada penjualannya.

BUAH cempedak turut gugur dibadai ribut.

Katanya, pagi ini dia mencuba mencari durian dan cempedak yang masih elok tetapi hampa kerana kedua-dua jenis buah itu didapati
masih terlalu muda.

“Alhamdulillah, tahun ini 20 batang pokok durian berbuah berbanding sebahagian kecil yang tidak berbuah tahun lalu tetapi kali ini Allah uji kami dengan kerugian apabila buah itu gugur sebelum waktunya,” katanya.

Norisnita berkata, ketika kejadian dia memasak dan terkejut apabila hujan lebat dan angin kencang tiba-tiba mengangkat bumbung
dapur.

Mohd Fadzlien dan Norisnita menunjukkan ruang dapur terlopong selepas bumbungnya diterbangkan angin kencang di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, Alor Gajah.

“Saya terpaksa lari apabila hujan mencurah-curah masuk ke dapur tetapi terjatuh akibat terpijak lantai licin.

“Mujur suami ada ketika itu dan mengangkat saya ke ruang tamu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan lauk yang dipenuhi air,” katanya.

Berikutan itu, mereka masih menunggu pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Perai menghulurkan bantuan menjalankan kerja pembaikan bumbung, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1081
Kongsi :
Previous post Enam keluarga cemas rumah dilanda ribut
Next post Nenek, tiga cucu tular mengemis ‘diselamatkan’
Ubah saiz-+=