Enam keluarga cemas rumah dilanda ribut

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

REMBIA 13 Jun – “Saya hanya teringatkan keselamatan isteri, ibu mentua dan anak yang masih kecil ketika melihat bumbung dapur tercabut dan diterbangkan ribut yang membadai dalam beberapa saat sahaja,” kata mangsa ribut, Mohd. Fadzlien Jaffar di Kampung Sungai Petai, dekat sini.

Selain rumah Mohd Fadzlien, ribut berlaku tengah hari semalam itu turut menyebabkan kerosakan di rumah penduduk lain.

Menurut Fadzlien, 44, sebelum kejadian itu berlaku kira-kira 12.45 tengah hari, dia dan isteri sedang menyiapkan hidangan tengah hari di dapur manakala dua orang anaknya yang berusia lapan dan 11 tahun bersama ibu mentua di bahagian tengah rumah.

BUMBUNG bahagian dapur rumah Mohd. Fadzlien yang diterbangkan ribut di Kampung Sungai Petai tengah hari semalam.

“Sebelum angin kuat melanda, berlaku hujan lebat pada jam 12.30 tengah hari berserta kilat dan ketika saya mahu menutup tingkap dapur, saya lihat ribut yang kuat datang meluru ke arah rumah sekali gus menerbangkan bumbung dapur.

“Disebabkan dentuman yang kuat, isteri saya panik dan cuba melarikan diri ke bahagian tengah rumah tetapi terjatuh namun mujurlah tidak mengalami apa-apa kecederaan serius,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurugambar sambilan berkata, hujan lebat dan ribut itu kemudiannya berhenti sebaik sahaja azan Zohor berkemundang dari masjid berhampiran.

Katanya, kejadian ribut tengah hari semalam dianggap paling buruk berlaku di kampung itu kerana melibatkan kerosakan harta benda penduduk berbanding insiden pertama awal April lalu.

Menurut Fadlien, sebahagian barangan dapurnya mengalami kerosakan dan ketika ini, penduduk kampung di situ sedang bergotong-royong membina penutup sementara bagi mengantikan bumbung yang rosak.

“Disebabkan pernah dilanda ribut kuat sebelum ini, saya terpaksa menebang beberapa pokok buahan seperti durian dan cempedak kerana bimbang dengan keselamatan keluarga.

“Namun, saya sekeluarga bersyukur kerana tidak berlaku kejadian kehilangan nyawa dan penduduk lain yang terjejas juga selamat, cuma berlaku kerosakan kecil sahaja,” katanya.

AHYAD menyampaikan sumbang kepada mangsa ribut sambil diperhatikan Sha’ari (kiri).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Khidmat Musa’adah Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sha’ari Samsudin berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, pihaknya melakukan lawatan susulan ke rumah yang terjejas ribut semalam.

Lawatan diadakan bersama Ahyad Abdullah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, pegawai daerah Alor Gajah, Majlis Agama Islam Melaka, Lembaga Perumahan Melaka berserta penghulu dan Japerun kawasan yang terlibat.

Katanya, bantuan awal akan disalurkan kepada mangsa di bawah Tabung Bencana daerah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Pelan pemulihan negara untuk persiapan keluar pandemik COVID-19 dirangka- Muhyiddin
Next post Rugi beratus durian muda gugur dipukul ribut
Ubah saiz-+=