Enam beradik yatim piatu tak sabar nak bersekolah

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

TANGGA BATU 15 Jun – Enam beradik yatim piatu di Kampung Pekan di sini gembira apabila mereka boleh kembali ke sekolah selepas mendapat sijil kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bapa saudara mereka, Jimmy Labit, 48, berkata sejak kematian bapa awal Januari lalu, enam beradik itu berhenti bersekolah di sekolah agama swasta memandangkan sumber kewangan telah tiada.

“Alhamdulilah tak lama lagi anak-anak ini dapat kembali ke sekolah mereka pun rasa gembira.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan jabatan terlibat bantu untuk masukkan mereka ke sekolah, cuma sesi persekolahan kita tak tahu bila… kena tunggu sampai sekolah buka,” katanya ketika ditemui MHI hari ini.

JIMMY.

 

Jimmy berkata, sejak mempunyai sijil kelahiran itu anak saudaranya sering bertanya bila mereka boleh kembali bersekolah.

“Memang mereka ada beritahu tak sabar nak ke sekolah tetapi kena tunggu juga sekarang pun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah mungkin lepas PKP mereka sekolah, kita pun masih tunggu pihak berkenaan untuk uruskan proses kemasukan sekolah.

“Sebagai bapa saudara saya juga membuat susulan perkara ini, kalau boleh biarlah mereka masuk sekolah berasrama penuh yang berdekatan sini,” katanya.

Ditanya mengapa memilih sekolah berasrama penuh, Jimmy berkata usaha itu bagi menjamin masa depan anak-anak saudaranya.

“Saya kadang-kadang kerja jauh, kalau boleh biarlah mereka ini duduk asrama lebih mudah untuk ke sekolah.

“Kalau duduk rumah tiada siapa yang jaga pelajaran mereka, di asrama ada yang memantau.

“Ikutkan dah lama mereka tak sekolah masa ada arwah ayah mereka pun sekolah putus-putus sebab keadaan kewangan tidak kukuh, bapa mereka pun hanya buruh binaan saja,” katanya lagi.

JIMMY (kiri) bersama anak saudaranya yang tidak sabar untuk bersekolah.

Sementara itu, anak kelima dari enam beradik Mohd Said Maulidin, 8, berkata, dia tidak sabar untuk memasuki alam persekolahan.

“Sebelum ini hanya hantar adik perempuan (bongsu) ke sekolah, kali ini saya sendiri pula dapat ke sekolah.

“Nanti di sekolah nak jumpa kawan-kawan dan cikgu, nak sekolah macam kakak dan abang jadi pandai.

“Tak sabar nak pergi sekolah sebab ini kali pertama nak pakai uniform sekolah semua,” katanya dengan nada gembira.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melawat dan menyerahkan sijil kelahiran kepada enam beradik yatim piatu tersebut.

Mereka ialah Nul Azizah Rosani Saman yang berusia 14 tahun serta lima adiknya, Ahmad Baharom, 13, Azrul,12, Khalid,11, Mohd Said Maulidin, 8, dan Siti Khadijah, 6, yang kini berstatus warganegara Malaysia yang sah.

BERITA BERKAITAN: Enam beradik yatim piatu terima sijil kelahiran

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post Perkhidmatan nikah cerai dan rujuk tangguh sepanjang PKP 3.0
Next post ‘Jangan takut, jom ambil vaksin’
Ubah saiz-+=