ePEMULA pupuk budaya transaksi tanpa tunai, ringankan beban kewangan Keluarga Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

CYBERJAYA, 15 April – Skim transaksi tanpa tunai khas ePemula bertujuan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata program itu akan memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan inklusif untuk semua lapisan rakyat serta perniagaan.

“Kerajaan sedar generasi muda dan teknologi digital juga sememangnya saling berkait rapat.

“Dikenali sebagai digital natives, golongan belia memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda digitalisasi di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ePemula di Universiti Multimedia hari ini.

Program ePemula di bawah Bajet 2022 merupakan insentif kredit e-tunai sebanyak RM150 membabitkan peruntukan RM300 juta dijangka memanfaatkan seramai dua juta belia berumur lingkungan 18 hingga 20 tahun yang layak di seluruh negara.

Proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit itu dibuka pada 11 April lepas dan individu yang layak akan menerima RM150 dalam e-dompet pilihan mereka iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

Beliau berkata kerajaan sedar pada masa ini, semakin ramai usahawan dan peniaga termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bertransaksi secara e-tunai terutama selepas penularan pandemik COVID-19.

“Pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e-dompet.

“Ini jelas terbukti apabila transaksi e-tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada 2021 berbanding RM29.6 bilion pada 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan agar semua usahawan khasnya PMKS mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutama ketika Fasa Peralihan ke Endemik bagi membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

Ismail Sabri juga berharap golongan belia yang layak menerima ePemula berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 itu untuk menyokong peniaga tempatan agar mereka dapat pulih sepenuhnya.

“Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat terutama golongan B40 yang boleh dibantu,” katanya.

Beliau berkata selain bantuan kewangan, kerajaan akan terus melaksanakan program pemerkasaan belia melalui pelbagai program termasuk Akademi Pembangunan Belia Malaysia serta penaiktarafan beberapa kompleks belia dan sukan.

Katanya pusat belia wilayah pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia.

Perdana Menteri berkata buat masa ini, kerajaan melalui Bajet 2022, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya memperuntuk RM1.2 bilion untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia termasuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

“Majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun diberikan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini.

“Ini membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta khusus untuk mereka melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1071
Kongsi :
Previous post Khairy arah penguatkuasaan di bazar Ramadan dipertingkat
Next post Mimpi berada di Tanah Suci, hidayah saudara baharu
Ubah saiz-+=