Fattah Amin sedia dalami watak Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Pelakon terkenal tanah air, Fattah Amin bersedia membawa watak Laksamana Hang Tuah menerusi naskhah Projek Dokumentari Hang Tuah yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Beliau mengakui amat meminati sejarah dan berharap projek dokumentari tokoh hebat Tanah Melayu itu bakal memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Menurut pelakon filem Mat Kilau dan Pendekar Awang itu beliau amat teruja apabila ditawarkan membawa watak Hang Tuah dan mengambil inisiatif sendiri untuk datang ke Pameran Hang Tuah di Melaka.

“Sebelum ini saya pernah memegang watak Pendekar Awang menerusi filem Mat Kilau dan apabila ditawarkan untuk membawa watak Hang Tuah, saya berbesar hati untuk membawa watak tokoh penting itu.

“Bagi saya dokumentari Laksamana Hang Tuah ini bakal memberi manfaat besar kepada generasi akan datang kerana ia akan dipertontonkan kepada semua golongan dalam usaha untuk meluruskan sejarah.

“Saya harap akan lebih ramai pengarah dan penerbit yang akan mengangkat filem atau naskhah berkisarkan tokoh pahlawan Melayu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pameran Hang Tuah bersama Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) merangkap Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora dan Penasihat Utama Projek Dokumentari Hang Tuah, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Mengulas lanjut, Fattah berkata beliau bersedia untuk mendalami watak Hang Tuah dan kini di peringkat untuk bertemu penyelidik dan pengkaji Hang Tuah.

“Saya akan mengambil masa yang lama untuk mendalami watak figura penting ini, kerana sebagai pelakon saya juga akan membuat kajian sendiri serta mengadakan perbincangan lanjut untuk menjiwai watak Laksamana Hang Tuah yang merupakan tokoh diplomat hebat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post Pameran Hang Tuah berjaya tarik lebih 10,000 pengunjung
Next post Warga emas dikhuatiri lemas di Tasik Biru Chin Chin
Ubah saiz-+=