Fokus tiga sektor perkukuh hubungan baik Melaka-China

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KLEBANG 19 April – Tiga sektor akan diberi tumpuan dalam memperkukuh hubungan diplomatik di antara Melaka dan China, tahun ini.

Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Lim Ban Hong berkata, tiga sektor tersebut ialah pelancongan dan kebudayaan; pelaburan serta pendidikan.

Jelas beliau, sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China pada tahun ini, peluang tersebut perlu dimanfaatkan semua pihak berkaitan dalam memastikan nama Melaka terus diangkat lebih tinggi bukan sahaja di Negara China, bahkan di peringkat antarabangsa.

“Fokus yang pertama ialah pelancongan, di mana kita perlu mengadakan lebih banyak acara atau program yang boleh mengeratkan hubungan di antara Melaka dengan wilayah-wilayah di China.

“Manakala dalam sudut pelaburan pula, saya melihat bahawa inilah peluang terbaik untuk kita memperkenalkan kosep pembangunan baharu yang dibawa oleh Ketua Menteri antaranya ‘Straits of Melaka Waterfront Economic Zone’ (SM-WEZ), selain beberapa lagi kawasan perindustrian baharu seperti German Technology Park (GTP) dan MCORP Hi-Tech Park.

“Kita perlu memainkan peranan untuk memperkenalkan idea, konsep dan ekosistem baharu ini dalam usaha menarik lebih ramai pelabur baharu bukan sahaja dari China, bahkan dari negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai, di sini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang berkata, bagi sektor pendidikan pula, antara fokus yang perlu diberi keutamaan ialah dalam bidang pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jelasnya, pelbagai institusi pendidikan dan pengajian tinggi yang ada di negeri ini perlu mengambil peluang ulang tahun hubungan diplomatik ini untuk menjalin hubungan dengan kerjasama erat bersama institusi TVET di China.

“Kerjasama seperti ini amat penting kerana bidang TVET inilah yang akan memperkukuh rantaian bekalan seluruh dunia, selain ia juga membantu pembangunan industri tempatan di Malaysia, terutama berorientasikan eksport.

“Jadi saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam menjayakan sambutan ulang tahun ini dan seterusnya membantu dalam meletakkan Melaka lebih jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post 34 juadah jamu 8,000 tetamu rumah terbuka
Next post Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori
Ubah saiz-+=