Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SUNGAI UDANG 19 April – Pembantu Kemahiran di Bahagian Kejuruteraan Pertanian Sungai Udang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Penjara Sungai Udang, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Muhammad Azwar Ibrahim, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 sedang dalam perjalanan menghala ke Sungai Udang dari arah Cheng.

Katanya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Penjara Sungai Udang, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 63 tahun dipercayai memperlahankan kenderaan apabila lampu isyarat hendak bertukar merah.

Namun, motosikal mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan dan terjatuh di atas jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk bedah siasat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut.

“Namun terdapat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan lain di lokasi kemalangan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1062
Kongsi :
Previous post Fokus tiga sektor perkukuh hubungan baik Melaka-China
Next post Pementasan terhebat Melaka di Panggung Bangsawan
Ubah saiz-+=