
FSSSM: PERTANDINGAN MEMANCING SUNGAI MELAKA KEMBALI, TAWAR HADIAH MENARIK
BANDARAYA MELAKA 22 Oktober – Hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 menanti pemenang pada pertandingan memancing sempena Festival Seni Selat Melaka x Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, pertandingan memancing itu akan diadakan pada Ahad (26 Oktober) membabitkan lokasi di Dataran Pengkalan Rama hingga ke Taman Lagenda.
“Kita jangkakan penyertaan seramai 1,000 orang dengan yuran penyertaan hanya RM30 sahaja. Pertandingan memancing ini antara acara yang diadakan bagi memeriahkan lagi FSSSM 2025.
“Kita menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000, di mana juara akan membawa pulang wang tunai bernilai RM7,000 diikuti RM1,000 bagi pemenang kedua manakala pemenang tempat ketiga akan memenangi RM500.
“Kita turut menyediakan wang tunai kepada pemenang sehingga tempat ke 80 manakala untuk 20 lagi pemenang sehingga ke-100 akan membawa pulang baucar barangan,” katanya pada sidang media sempena penganjuran FSSSM 2025 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka Ezlina Elias, di Kafe Mendam Berahi, Dataran Pengkalan Rama, semalam.
Menurut Shaharul Azuar, penyertaan pertandingan masih dibuka dan akan ditutup pada jam 8 pagi Ahad sebelum bermulanya acara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.