Sorting by

×

GAMA: INISIATIF MELAKA TANGANI BULI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka memandang serius mengenai penularan gejala buli di sekolah walaupun hanya melibatkan jumlah kes yang minimum.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bertindak segera melalui pelaksanaan Program Gerakan Anti Buli Murid Asrama (GAMA) akan dilancarkan pada 27 Ogos depan di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah .

Jelasnya, program tersebut merupakan satu inisiatif serius susulan beberapa kes buli melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara termasuk Melaka.

“Program GAMA adalah inisiatif strategik sebagai langkah memperkukuh persekitaran asrama yang selamat, kondusif dan menyokong pembangunan sahsiah murid serta pelajar.

“Inisiatif ini disambut baik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bagi memastikan anak-anak yang berada di asrama mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Asrama Sekolah Menengah (SM) Pay Fong yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Allex Seah Shoo Chin; Pengerusi Lembaga Pengurus SM Pay Fong, Su Chin Hock, wakil agensi serta dan jabatan Kerajaan Negeri.

Jelasnya, sejak 2019, jabatan pendidikan negeri telah mengaktifkan ‘Task Force’ bagi menangani masalah buli di sekolah, sekali gus membuktikan gejala tersebut sentiasa dipantau.

“Task Force ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan telah beberapa kali mengadakan lawatan mengejut ke asrama-asrama bagi memberi nasihat, teguran serta motivasi kepada para pelajar, tetapi akhir-akhir ini gejala ini berulang.

“Baru-baru ini terdapat kes buli di Melaka, walaupun tidak melibatkan sentuhan fizikal dan sekadar ejekan, memerli serta, denda tetapi tetap diklasifikasikan sebagai buli.

“Jadi saya ambil tindakan tegas berhubung isu-isu ini, saya telah meminta pihak jabatan pendidikan negeri membuat siasatan yang menyeluruh, supaya perkara ini tidak berulang, pihak terbabit sekiranya didapati bersalah akan dikenakan tindakan,” ulasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

694
Kongsi :
Previous post HARGAI PERANAN, JASA NELAYAN – KM