Ganti paip AC turunkan kadar NRW

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mei – Penggantian paip simen asbestos (AC) secara menyeluruh antara penyelesaikan perlu dilaksanakan bagi terus menurunkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abdul Rashid Abd Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM700 juta diperlukan bagi menggantikan paip AC kepada paip besi berikutan jangka hayatnya telah melebihi tempoh ditetapkan.

“Paip AC sepanjang 1,117 kilometer (km) di Negeri Melaka direkodkan telah berusia 40 tahun, sedangkan jangka hayat ditetapkan adalah hanya selama 25 tahun.

“Aset agak lama dan paip AC yang usang mempengaruhi kadar NRW di Negeri Melaka. Sebelum ini Melaka merekodkan kadar NRW terbaik di Malaysia iaitu sebanyak 18.5 peratus, namun sekarang 34.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian SAMB ‘Intelligent Command Centre’ (SICC) disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Wisma SAMB, Jalan Hang Tuah, di sini hari, ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bersama Timbalannya, Zahari Abdul Khalil serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Abdul Rashid mengharapkan formula baharu mahupun bantuan bersesuaian daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kerja-kerja penggantian paip AC dapat dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia khususnya di Melaka.

“Kita sedang menunggu cadangan dan perancangan berkaitan penggantian paip ini daripada Kerajaan Persekutuan seperti mengenal pasti beberapa kategori berdasarkan tahap kritikal paip ini berikutan ia sepanjang 1,117 km,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Runding pembukaan semula penerbangan terus dari China – KM
Next post Kembalikan senyuman anak yatim di Aidilfitri
Ubah saiz-+=