Runding pembukaan semula penerbangan terus dari China – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mei – Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) bagi membuka semula penerbangan terus antara China dan Melaka menerusi Lapangan Terbang Antarabangasa Melaka (LTAM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penerbangan terus itu mampu meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan Negeri Melaka.

Katanya, usaha itu juga bertepatan dengan persediaan Melaka menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Selain daripada maklumat tentang menggalakkan pelancong China datang ke Melaka, saya akan cuba berunding dengan MAHB kerana LTAM di Batu Berendam termaktub dalam spesifikasi yang mana kapal terbang Boeing A320 boleh mendarat.

“Sekiranya dapat membangunkan semula dan menggalakkan aktiviti penerbangan datang ke Melaka, saya yakin ramai pelancong China akan datang terus ke Melaka tanpa perlu transit di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji bersama delegasinya di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Terdahulu, Ab Rauf bersama kepimpinan Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan selama setengah jam dengan penggubal undang-undang tertinggi China bersama delegasinya bagi membincangkan potensi kerjasama antara Melaka dan China.

Ab Rauf berkata, pembukaan semula penerbangan terus dari negara republik itu akan dibincangkan bersama Abdul Razak dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta beberapa agensi penerbangan lain minggu ini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1593
Kongsi :
Previous post Melaka pilihan pelabur China
Next post Ganti paip AC turunkan kadar NRW
Ubah saiz-+=