Melaka pilihan pelabur China

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Mei – Melaka menjadi satu-satunya negeri dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji dalam rangka lawatan kerja untuk meninjau pelbagai potensi pelaburan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pemimpin ketiga tertinggi negara republik itu bersama delegasinya menyatakan minat untuk menjalin hubungan dua hala dalam pelbagai bidang bersama melaka seperti perindustrian, pelancongan dan pelabuhan.

Katanya, hubungan persahabatan antara Melaka dan China sudah terjalin sejak tahun 2004 yang mana beberapa bandar di republik itu menjalankan inisiatif bandar berkembar dengan negeri ini.

“Kerajaan China menggalakkan supaya hubungan ini berterusan dan mengikut aspek sejarah hubungan ini terjalin sejak 600 tahun dahulu lagi. Jadi mengimbau sejarah itu, kebanyakan pemimpin dan pelabur China lebih mengenali Melaka berbanding negeri lain.

“Kita menggalakkan seberapa banyak pelaburan daripada China untuk sama-sama memajukan Melaka dalam pelbagai bidang industri terutama membangunkan M-WEZ (Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka) yang dijangka menjadi sebuah kawasan yang pesat membangun dalam bidang maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat lawatan kerja Zhao bersama delegasinya ke Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Penasihat Pelaburan dan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri, Datuk Lim Ban Hong.

Terdahulu, Ab Rauf bersama kepimpinan Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan selama setengah jam dengan penggubal undang-undang tertinggi China dan delegasinya bagi membincangkan potensi kerjasama antara Melaka serta China.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, hasil perbincangan kedua-dua pihak berjalan dengan baik dan banyak potensi yang boleh dibangunkan menerusi jalinan dua hala itu.

“Hasil daripada perbincangan kedua-dua pihak tadi kita melihat lebih jauh daripada ini, supaya Melaka boleh dibangunkan dalam pelbagai sudut sama ada pelancongan, pelaburan, perindustrian dan pelabuhan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5043
Kongsi :
Previous post Buruh didenda RM4,000 ugut bunuh rakan kerana tak kemas bilik
Next post Runding pembukaan semula penerbangan terus dari China – KM
Ubah saiz-+=