‘Geng Bhai’ aktif pecah tapak binaan ketika PKP membabitkan kerugian setengah juta ringgit tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDA HILIR 14 Jun – Sekumpulan penjenayah dikenali ‘Geng Bhai’ yang aktif melakukan jenayah pecah masuk dan mencuri peralatan di tapak pembinaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu, akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kumpulan empat penjenayah itu diketuai seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikenali sebagai ‘Bhai’ dan kesemua mereka ditahan di dua lokasi berasingan di daerah antara 12.20 pagi hingga 12.50 pagi, 3 Jun lalu.

Katanya, dalam serbuan pertama hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 45 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana.

“Ketua geng terbabit iaitu Bhai dan teman wanitanya berusia 22 tahun pula ditahan di sebuah hotel di Batu Berendam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, geng berkenaan aktif sekitar PKP 1.0 pada Mac tahun lalu dan telah melakukan sembilan jenayah pecah masuk tapak pembinaan sekitar Tanjung Minyak, Tengkera dan Malim dengan mencuri pelbagai barangan dan peralatan binaan yang dianggarkan bernilai RM500,000.

“Modus operandi kumpulan ini ialah menyasarkan tapak pembinaan kosong yang ditinggalkan sepanjang PKP dan tidak mempunyai pengawal keselamatan sebelum mencuri pelbagai peralatan dan bahan binaan.

“Kumpulan ini juga turut dikesan memecah masuk sebuah rumah contoh di Tanjung Minyak serta mencuri pelbagai perabot serta barang-barang di dalamnya.

“Hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Afzanizar berkata,  hasil serbuan itu pihaknya berjaya menemui pelbagai barangan dan peralatan yang dicuri daripada tapak pembinaan termasuklah alat gerudi, mesin pembancuh simen, pendingin hawa dan pelbagai lagi barangan lain.

Beliau berkata, soal siasat terhadap suspek mendapati barangan curi itu akan dijual kepada kenalan rapat mereka.

“Kita tidak menolak kemungkinan ia turut dijual di kedai barangan lusuh dan wang yang diperoleh digunakan untuk membeli dadah.

“Kesemua suspek yang juga penganggur kini direman selama 12 hari bermula 3 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afzanizar turut meminta penyelia atau pemilik tapak pembinaan agar menyediakan kawalan keselamatan sekiranya tapak berkenaan ditinggalkan untuk mengelakkan kes sama berulang.

“Mereka juga diseru memaklumkan kepada pihak polis atau boleh melakukan kawalan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan tempat tersebut tidak diceroboh masuk,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Retak bahu dan patah lengan kiri disondol babi hutan
Next post Hanya 24 positif COVID-19, bukan 120
Ubah saiz-+=