‘Geng Tabung Ekzos’ tumpas

BANDA HILIR 15 Jan – Satu lagi sindiket yang aktif mencuri ekzos kenderaan sejak November tahun lalu dikenali ‘Geng Tabung Ekzos’, tumpas selepas polis menahan 11 individu termasuk seorang wanita awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, semua suspek berusia 23 hingga 43 tahun itu ditahan pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi serbuan di Jasin dan Melaka Tengah serta di Johor dan Selangor 5 hingga 13 Januari lalu.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan pihaknya menerima satu laporan mengenai kecurian ekzos daripada seorang pemilik kenderaan di negeri ini pada November lalu.

“Bertindak atas laporan itu, polis menjejaki individu terbabit dan melalui maklumat awal kita berjaya menangkap tiga suspek di Johor pada 5 Januari lalu termasuk dalang dikenali sebagai ‘Adik’ berusia 33 tahun serta seorang wanita yang bertindak sebagai ‘pemerhati’ dalam melakukan jenayah itu.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di Merlimau pada hari sama dan keesokkan harinya seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk membeli ekzos curi di kawasan Tanjung Keling,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Afzanizar berkata, seorang lelaki yang bertindak sebagai pembeli turut ditahan di Klang, Selangor diikuti tangkapan terbabit dibuat di Johor pada 13 Januari  membabitkan dua suspek.

Katanya, menerusi serbuan polis merampas beberapa ekzos curi dianggarkan bernilai keseluruhan RM30,000 berdasarkan harga pasaran, dua kenderaan serta peralatan termasuk gergaji dan pemutar skru dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

Antara rampasan tabung ekzos yang dicuri oleh Geng Tabung Ekzos di negeri ini.

Katanya, sindiket itu menyasarkan kereta seperti Mercedes Benz, Toyota dan Naza Ria dipakir di kawasan sunyi sebelum bertindak memotong tabung ekzos menggunakan gergaji dan pemutar skru dan dijual kepada pembeli pada harga RM1,000 hingga RM2,000.

“Ekzos berkenaan kemudian dijual pula ke luar negara yang mempunyai teknologi mengeluarkan emas putih dan wang diperoleh diguna untuk membeli dadah.

“Dengan penahanan semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian ekzos di negeri ini,” katanya.

Katanya, semua suspek diteman antara tujuh hingga 14 hari mengikut tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan awal Disember lalu polis kontinjen negeri menumpaskan Geng Emas Putih yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan selepas menahan tujuh lelaki dan merampas 65 ekzos.

Views:

263
Previous post UTC Melaka tutup sementara, petugas positif COVID-19
Next post PKP 2.0: Panorama Melaka, hadkan operasi di sembilan laluan