Sorting by

×

Gerak gempur SWCorp dan SWM pelihara kebersihan

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Ogos – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka dengan kerjasama, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) hari ini melancarkan program gerak gempur mengutip sampah di Masjid Tanah, di sini.

Ia berbeza dengan keadaan sebelum ini yang menyaksikan pegawai SWCorp hanya mengarahkan petugas SWM menjalankan tugas berkenaan.

Melalui program itu, pegawai tertinggi kedua-dua pihak beramai-ramai turun padang untuk mengutip sampah dengan diketuai Pengarah SWCorp, Khairuladha Abdul Mutalib.

Kira-kira 20 pegawai kanan agensi kerajaan itu bekerjasama dengan pegawai dan petugas SWM untuk mengutip sampah.

Satu kumpulan pegawai dan petugas terbabit menjalankan kerja berkenaan di sekitar Taman Masjid Tanah Ria yang berfungsi sebagai pusat perniagaan pasar raya dan premis perniagaan yang lain.

Manakala satu kumpulan lagi mengutip sampah di sepanjang jalan dari Pengkalan Balak ke Telok Gong, Kuala Sungai Baru yang berfungsi sebagai pantai peranginan popular.

Apa sahaja sampah yang dijumpai di kedua-dua lokasi berkenaan menjadi bahan untuk dikutip pegawai terbabit, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan bersih daripada pelbagai sampah, terutama plastik dan botol plastik.

Khairuladha berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan menerapkan budaya kerjasama antara SWCorp dengan SWM dan kontraktor pembersihan SWM bagi meningkatkan keberkesanan program pemeliharaan kebersihan.

“Kita mahu menjadikan Melaka sebagai antara negeri terbersih di negara ini, sejajar usaha kerajaan negeri memajukan industri pelancongan yang tidak akan berjaya, jika negeri ini dipandang sebagai negeri kotor dan jijik dari perspektif pelancong tempatan dan asing.

“Kami akan menganjurkannya dari semasa ke semasa dan Masjid Tanah menjadi lokasi pelancarannya kerana pekan Masjid Tanah semakin pesat membangun dan pantai peranginan di sini pula mencatatkan peningkatan jumlah pengunjung,” katanya ketika ditemui di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Perkhidmatan Kawasan SWM, Norariffin Nordin.

Kumpulan yang mengutip sampah di pantai berkenaan berjalan sejauh kira-kira empat kilometer dari Pengkalan Balak ke Telok Gong manakala kumpulan di Taman Masjid Tanah Ria berbuat demikian di sepanjang kaki lima kedai sepanjang kira-kira 800 meter.

Khairuladha berkata, SWM dan kontraktor syarikat berkenaan komited memelihara kebersihan di negeri ini, termasuk menjalankan kerja mengutip sampah bukan di kawasan yang dipertanggungjawabkan ke atas syarikat berkenaan.

Katanya, sampah yang dilonggokkan penduduk kampung di tepi jalan dikutip oleh petugas SWM untuk dimuatkan ke dalam lori sampah syarikat berkenaan sebelum dibawa ke pusat pelupusan sampah sebagai ihsan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, kerja berkenaan tidak dilakukan secara harian, sebaliknya selang beberapa hari kerana lori sampah SWM perlu digunakan untuk mengangkut sampah di taman perumahan dan premis perniagaan di pekan Masjid Tanah.

Kerja berkenaan penting bagi memastikan negeri ini kekal bersih tanpa dicemari sampah sarap bertimbun di merata-rata tempat, katanya.

Sehubungan itu beliau meminta anggota komuniti membantu memelihara kebersihan di kawasan masing-masing bagi memastikan Melaka bersih dan rakyatnya sihat.

Views:

1536
Kongsi :
Previous post Klinik Kesihatan Jenis 2 sedia fasiliti baharu
Next post KKM tumpu baik pulih 46 hospital berusia lebih 50 tahun
Ubah saiz-+=