Klinik Kesihatan Jenis 2 sedia fasiliti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PENGKALAN BATU 8 Ogos – Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Batu Berendam mampu memberikan perkhidmatan kepada 38,000 penduduk di kawasan itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia merupakan model terkini yang memenuhi spesifikasi rawatan klinik kesihatan masa hadapan.

“Klinik ini disiapkan pada tempoh masa ditetapkan dengan penjimatan kos kira-kira RM1.5 juta.

“Ia menyediakan fasiliti tambahan seperti unit rehabilitasi dan x-ray yang moden, fasiliti unit kecemasan serta kuaters yang boleh menempatkan petugas selepas waktu pejabat bagi kes-kes kecemasan dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) dan Kuaters Batu Berendam di Klinik Kesihatan (Jenis 2), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman dan Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min.

Jelasnya, klinik kesihatan itu menjadi titik tolak kepada pembinaan lebih banyak klinik kesihatan tahap 2 di negara ini.

“Ini merupakan satu kejayaan besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menangani Covid-19.

“Sebelum ini, tapak ini digunakan sepenuhnya untuk membuat saringan Covid-19 secara ‘drive thru’ untuk penduduk yang berada di kawasan ini,” katanya.

Katanya, ia merupakan kerjasama yang boleh dilaksanakan melalui pengwujudan klinik kesihatan selain daripada hospital.

Untuk rekod, pembinaan klinik kesihatan ini menelan kos kontrak sebanyak RM22.9 juta bermula 3 Oktober 2017 oleh Strong Merit Sdn Bhd.

Views:

1488
Kongsi :
Previous post Kaedah fizikal dan virtual konsep MAHA 2020 dalam norma baharu
Next post Gerak gempur SWCorp dan SWM pelihara kebersihan
Ubah saiz-+=