Kaedah fizikal dan virtual konsep MAHA 2020 dalam norma baharu

0
577

UMBAI 8 Ogos – Pendekatan baharu akan diambil bagi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) susulan norma baharu selepas pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, suasana norma baharu menjadikan beberapa pendekatan aktiviti jualan dan pameran dipertingkatkan dengan menggunakan kaedah fizikal dan maya (virtual).

Ujarnya, pameran yang telah diwujudkan sejak zaman British itu merupakan platform penting dalam menjana pendapatan ekonomi masyarakat, malah ia merupakan peluang menarik penglibatan pasaran antarabangsa.

“Perancangan ini diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

“Namun, kita masih lagi menunggu keputusannya khususnya dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran ini.

“Namun, saya jangka penganjuran acara dwi-tahunan itu dapat pertimbangan baik daripada MKN kerana ia mampu membantu golongan peladang, penternak dan nelayan menjual hasil mereka,” katanya selepas merasmikan Program Melabuh Unjam, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Jeti Nelayan Umbai, Serkam di sini hari ini.

Media tempatan melaporkan, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penularan COVID-19 di negara ini telah mengubah cara penganjuran MAHA 2020 disebabkan jangkaan penganjuran diadakan secara hybrid antara 26 hingga 29 November ini.

Kerajaan juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).