Sorting by

×

GERHANA BULAN: FAHAMI MAKNA TERSIRAT ILMU FALAK

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 8 September – Fenomena gerhana bulan penuh awal pagi tadi menarik lebih 50 peminat falak untuk berhimpun di Dataran Pusat Islam Masjid Al-Azim, di sini, bagi menyaksikan fenomena alam itu.

Kehadiran peminat falak itu secara tidak langsung memeriahkan Program Fenomena Gerhana Bulan Penuh Tahun 2025: Melaka Bermunajat dan Himpunan Komuniti Astronomi Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1447H.

Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka, Dr. Kassim Bahali berkata keadaan cuaca berawan menjejaskan penglihatan dan membantutkan aktiviti mencerap gerhana.

Katanya, penglibatan pelbagai pihak menjayakan program tersebut termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Jabatan Mufti Negeri Melaka memperlihatkan kesungguhan semua pihak dalam memartabatkan ilmu falak.

6192805704088273771
AHLI Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka, Dr. Kassim Bahali. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

“Fenomena seperti ini menjadi peluang berharga untuk mendekatkan masyarakat kepada kebesaran ciptaan Allah, selain membudayakan aktiviti penyelidikan dalam kalangan generasi muda.

“Meskipun penglihatan terhad, pengalaman menyertai program ini tetap memberi kenangan bermakna. Ia membuktikan bahawa fenomena astronomi bukan sekadar untuk dilihat, tetapi difahami hikmahnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan cerahan bertajuk Ibrah Fenomena Gerhana Bulan Penuh pada program tersebut.

Jelasnya, program bermula sejak jam 11 malam (Selasa) hingga 4 pagi itu berjaya mengumpulkan ahli falak, pelajar universiti dan masyarakat umum dalam suasana penuh ukhuwah dan perkongsian ilmu.

Fenomena gerhana bulan penuh kali ini turut diraikan di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai negeri, membuktikan minat masyarakat terhadap ilmu falak semakin berkembang positif dari masa ke masa.

Selain aktiviti cerapan, beberapa masjid dan surau di sekitar negeri ini turut mengadakan Solat sunat Gerhana sebagai menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1087
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TERIMA KUNJUNG HORMAT BINTANG BADMINTON NEGARA
Next post ZAKAT PENDAPATAN REKOD KUTIPAN TERTINGGI, RM50.75 JUTA