
GOTONG-ROYONG BERSIH PANTAI SEMPENA KEMERDEKAAN KE-68
PANTAI KUNDOR 19 Ogos – Lebih 120 peserta berganding bahu membersihkan persisir pantai Kampung Balik Bukit di sini, bersempena kemerdekaan negara yang ke-68, tahun ini.
Ketua Syarikat Tanjung Bruas Port (TBP) Sdn. Bhd. Khairul Anuar Othman berkata, rakyat Malaysia mempunyai pelbagai cara untuk meluahkan semangat cintakan tanah air dan patriotisme dan pihaknya mengambil pendekatan mengadakan gotong-royong.
Katanya, penganjuran itu juga merupakan antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)Â dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Politeknik Melaka.
“Untuk program kali ini kita berjaya menghimpunkan lebih 120 perserta antaranya daripada agensi kerajaan, pelajar dan pensyarah serta penduduk setempat.
“Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan membersihkan persisir pantai sejauh dua kilometer tetapi juga menyemarakkan semangat patriotisme dan sekali gus mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Kemerdekaan Ke-68 Dan Program Pembersihan Pantai, di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, hari ini.

Terdahulu majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KMB Akmal Abdul Manap.
Menurut Khairul Anuar, penganjuran program itu juga merupakan antara inisiatif berterusan pihaknya dalam menyatakan sokongan kepada komuniti setempat sekali gus memperkukuhkan hubungan bersama penduduk setempat.
“Program kemasyarakatan seperti ini dekat di hati kami malah sehingga kini TBP sudah melaksanakan empat program CSR yang membabitkan peruntukan kira-kira RM40,000.
“Saya berharap program ini dapat menjadi wadah dalam mengukuhkan kerjasama dan silaturahim antara agensi kerajaan, pihak pengurusan pelabuhan serta komuniti yang terlibat,” katanya.
Jelasnya, semoga program ini menjadi pemangkin kepada usaha-usaha seterusnya dalam memelihara alam sekitar, memupuk semangat patriotisme dan mengeratkan perpaduan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.