Gulai batang pisang saingan asam pedas

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Berpanas hampir tiga jam untuk memastikan batang pisang dan daging digulai empuk serta lembut dianggap berbaloi bagi dua tukang masak ini apabila melihat gelagat pelanggan berselera menjamah hidangan ini yang popular di Kedah terutama di daerah Sik selain Baling.

Gulai batang pisang adalah hidangan wajib bagi dua kawasan berkenaan terutama setiap kali melangsungkan majlis kenduri perkahwinan.

Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, dan Kamal Hamidi Ali, 31, sepakat untuk menawarkan hidangan itu di restoran mereka yang memulakan operasi Mac lalu, meskipun sedar perlu bersaing dengan asam pedas yang menjadi makanan ikonik Negeri Melaka dan popular dalam kalangan pelancong selain penduduk tempatan.

Setakat ini percubaan mereka melepasi ujian awal apabila hidangan gulai batang pisang mula mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan termasuk pelancong dari negara jiran.

Katanya, tidak ramai pengusaha restoran di Melaka yang menawarkan hidangan itu kerana proses penyediaannya yang agak rumit dan mengambil masa agak lama.

“Sudahlah sukar untuk diperolehi, bukan semua batang pisang sesuai untuk dibuat gulai. Kami mendapatkan bekalan batang pisang dari pembekal di Baling yang dihantar dua kali seminggu.

“Tidak sangka masakan utara mendapat sambutan di Melaka, kami cuba memberikan yang terbaik. Bagi gulai batang pisang ini rempahnya kami adun sendiri,” katanya ketika ditemui di Restoran Serambi Emak, Kota Fesyen, di sini.

2
AHMAD Zul dan Kamal menunjukkan antara sajian istimewa di restoran mereka yang terletak di Kota Fesyen, Ayer Keroh.

Katanya bukan sahaja enak dijamah bersama nasi panas, batang pisang sebenarnya mempunyai banyak kebaikan untuk manusia seperti membantu proses penghadaman dan menyingkirkan asid urik bagi yang mengalami gout.

Sementara itu Kamal Hamidi, meluahkan rasa terharu apabila ramai pelanggan menyuarakan rasa berpuas hati dengan hidangan yang dijamah.

“Saya terharu apabila ada seorang pelanggan yang sudah berusia mengatakan hajatnya untuk menikmati gulai batang pisang sejak puluhan tahun tercapai.

“Malah baru-baru ini pula ada pelanggan dari Singapura datang ke Serambi Emak ini kerana ingin mencuba gulai batang pisang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1853
Kongsi :
Previous post Cahaya warna-warni meriahkan rumah terbuka Aidilfitri DUN Merlimau
Next post Pembangunan bersasar elak projek gajah putih di Alor Gajah
Ubah saiz-+=