Pembangunan bersasar elak projek gajah putih di Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 13 Mei – Pembangunan bersasar terutama di sekitar pintu masuk ke Negeri Melaka menjadi antara keutamaan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi mengelakkan projek gajah putih di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Tpr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kawasan yang dibangunkan sebelum ini perlu diperkasakan dengan pelbagai infrsatruktur dan tarikan baharu.

Katanya, pihaknya turut meningkatkan promosi untuk menarik lebih pelancong bertumpu di kawasan berkenaan.

“Setakat yang saya maklum di daerah Alor Gajah tidak ada projek gajah putih, malah kawasan yang sebelum ini kita bangunkan perlu diperkasakan, pemerkasaan itu akan melihat kepada infrastruktur dan tarikan.

“Kita ada beberapa kawasan pelancongan seperti Tanjung Bidara, Pengkalan Balak, medan ikan bakar di Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

“Sekitar Alor Gajah juga ada pusat-pusat bandar yang sekarang ini antara tumpuan pelancongan untuk mencari dan menikmati, jadi perkara-perkara itu akan kita perkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perbandaran MPAG ke-20 di Dataran MPAG, di sini, malam tadi.

Pembangunan itu merangkumi 108 projek pelancongan dan bagi faedah masyarakat menelan kos RM9.06 juta.

Sementara itu Saifuddin berkata, MPAG juga membuat perancangan untuk membangunkan kawasan yang sudah lama terbiar bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan di daerah berkenaan.

“Pekan kecil terutama di pintu masuk Melaka, kita kena buat sesuatu sekarang, kalau tidak kita akan lebih tertinggal 10 tahun akan datang.

“Kawasan yang diberi tumpuan termasuk Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dan Tanjung Bidara, malah kita juga menumpukan di bandar Alor Gajah sendiri.

“Kita juga melihat kawasan di Durian Tunggal yang boleh dimajukan dan kemajuan itu berkaitan pembangunan yang dibuat mungkin secara bersasar atau penyaluran menerusi peruntukan daripada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1483
Kongsi :
Previous post Gulai batang pisang saingan asam pedas
Next post Mudir, warden pusat tahfiz direman empat hari
Ubah saiz-+=